Ekonomi

Api-Api Dan Kampung Air Jadi Lokasi, Premis Pinjaman Wang Disimbah Cat

 

KOTA KINABALU: Polis mengesahkan menerima dua laporan berasingan berhubung perbuatan khianat simbah cat terhadap dua premis pinjaman wang berlesen di sekitar daerah ini, sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pengusaha perniagaan.

 

Kejadian pertama membabitkan sebuah premis di Api-Api Centre, manakala kes kedua dilaporkan berlaku di Jalan Perpaduan, Kampung Air. Kedua-dua insiden dipercayai berlaku pada waktu malam berdasarkan semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi.

 

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Abdul Rahman, berkata tiada kecederaan dilaporkan dalam kedua-dua kejadian berkenaan.

 

“Polis telah membuka dua kertas siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat,” katanya dalam kenyataan media.

 

Menurutnya, pihak polis kini giat mengesan suspek serta mengumpul bukti di lokasi kejadian bagi membantu siasatan. Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan diminta tampil atau menghubungi balai polis berhampiran bagi menyalurkan maklumat.

 

“Polis Diraja Malaysia memberi jaminan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba mengganggu keselamatan dan ketenteraman awam melalui perbuatan jenayah seumpama itu,” katanya.

Leave feedback about this

  • Rating