Tempatan Utama

Sabah terus desak pelaksanaan penuh hak 40 peratus MA63

Sabah terus tuntut hak 40 peratus hasil Persekutuan melalui rundingan G to G

PENAMPANG: Kerajaan Sabah akan terus menuntut pelaksanaan penuh hak pemberian 40 peratus hasil Persekutuan kepada negeri itu seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) melalui rundingan kerajaan dengan kerajaan (G to G).

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, hak berkenaan merupakan antara tuntutan terbesar Sabah di bawah MA63 dan termaktub dalam Perkara 112C serta 112D Perlembagaan Persekutuan.

Beliau menegaskan kerajaan negeri akan terus membawa tuntutan itu dalam rundingan dengan Kerajaan Persekutuan sehingga ia dilaksanakan sepenuhnya.
“Kerajaan negeri di bawah kepimpinan saya akan terus menuntut pelaksanaan penuh pembayaran 40 peratus melalui proses rundingan (G to G) dengan Kerajaan Persekutuan.

“Hak 40 peratus merupakan hak terbesar kita dalam MA63 dan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Hak ini mesti ditunaikan oleh Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Ulang Tahun UPKO ke-32 dan Persidangan Perwakilan Tritahunan UPKO ke-17 di sini, kelmarin.

Hajiji berkata, pendirian kerajaan negeri itu turut dikemukakan dalam mesyuarat Jawatankuasa Teknikal MA63 yang berlangsung di Putrajaya pada 3 Ogos lalu, yang turut dihadiri Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ewon Benedick sebagai sebahagian daripada delegasi kerajaan negeri.

Menurutnya, sebanyak 13 tuntutan berkaitan MA63 telah dilaksanakan setakat ini, antaranya kawal selia tenaga, pelesenan dan penangkapan laut dalam, pengiktirafan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di bawah Arahan Perbendaharaan 182, pentadbiran badan kehakiman di Sabah, pentadbiran Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan, tenaga buruh serta alam sekitar.

Mengenai tuntutan 40 peratus, Hajiji berkata pelaksanaannya masih belum sepenuhnya, termasuk satu rayuan Kerajaan Persekutuan di Mahkamah Rayuan.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan negeri menerima bayaran secara interim yang sebelum ini berjumlah RM26 juta dan kini dinaikkan kepada RM1.5 bilion mulai tahun ini.

Beliau berkata peningkatan bayaran interim itu akan dimanfaatkan untuk pembangunan infrastruktur dan kebajikan rakyat Sabah.

“Kerajaan negeri akan menggunakan hasil ini untuk membina lebih banyak jalan raya berturap, jambatan konkrit, menambah baik bekalan air dan elektrik serta agenda pembangunan dan kebajikan rakyat seperti pembinaan lebih banyak Rumah SMJ dan Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR).

“Pendek kata, apa yang kita perolehi daripada Kerajaan Persekutuan akan kita pulangkan semula kepada rakyat dalam pelbagai bentuk insentif dan bantuan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Hajiji berkata kerajaan negeri terus memberi tumpuan kepada prestasi kewangan dan peningkatan kutipan hasil, dengan jumlah kutipan berjaya dikekalkan sekitar RM7 bilion setahun sejak 2022.

Jumlah itu, katanya, dijangka meningkat kepada RM8 bilion tahun ini.

Beliau berkata Sabah turut berjaya membangunkan daya tahan ekonomi meskipun berdepan pelbagai cabaran domestik dan global, sekali gus menjadikan negeri itu sebagai destinasi pelaburan strategik.

Pada 2025, katanya, nilai pelaburan dalam sektor pembuatan mencecah RM7.6 bilion, meningkat hampir 208 peratus berbanding 2024.

Hajiji berkata usaha berkenaan bertujuan meningkatkan kemakmuran ekonomi rakyat melalui penciptaan peluang pekerjaan serta merancakkan aktiviti perusahaan mikro, kecil dan sederhana menerusi pelaburan berimpak tinggi.

Sementara itu, melalui kerjasama strategik dengan PETRONAS menerusi Commercial Collaborative Agreement (CCA), kerajaan negeri juga berjaya meningkatkan pegangan ekuiti dalam penerokaan dan pembangunan industri minyak dan gas di Sabah.

Menurutnya, Sabah sedang memuktamadkan perolehan 40 peratus ekuiti dalam projek fasiliti Gas Asli Cecair Terapung (FLNG) di Sabah, selain 30 peratus pegangan dalam dua lapangan minyak dan gas baharu di Pantai Timur.

“Insya-Allah, perjanjian untuk perkongsian ini akan dimeterai dalam waktu terdekat,” katanya.

Kerajaan negeri turut merancang pembangunan taman perindustrian baharu termasuk di Kota Belud serta Hab Ekonomi Biru di Kudat bagi meningkatkan pelaburan dan merancakkan rantaian ekonomi domestik.

Leave feedback about this

  • Rating