Tempatan Utama

Lupa Gear ‘P’ Punca SUV Rempuh Pintu KKIA

SUV rempuh pintu kaca KKIA selepas pemandu terlupa gear ‘P’

KOTA KINABALU: Terlupa meletakkan gear pada kedudukan ‘P’ (park) dipercayai menjadi punca sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) terbabas sebelum merempuh pintu kaca Balai Pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), baru-baru ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.55 petang itu, pemandu wanita berusia 66 tahun dikatakan berhenti di lorong kedua di hadapan bangunan KKIA untuk menjemput anaknya.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Shahrudin Mat Husain berkata, siasatan awal mendapati wanita berkenaan dipercayai terlupa meletakkan gear kenderaan pada kedudukan ‘P’ ketika hendak bertukar pemandu.

“Ketika cuba keluar, SUV berkenaan mula bergerak perlahan menyebabkan wanita itu panik sebelum secara tidak sengaja menekan pedal minyak.

“Keadaan itu menyebabkan kenderaan meluncur laju ke hadapan sebelum melanggar sebuah kenderaan lain.

“SUV terbabit kemudian terbabas merempuh pintu kaca bahagian pelepasan KKIA sebelum melanggar tiang bangunan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, wanita terbabit sempat keluar daripada SUV sebelum pelanggaran berlaku, namun mengalami kecederaan ringan pada muka akibat terkena serpihan kaca.

Beliau berkata, mangsa kemudian dibawa dengan ambulans ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Kaedah 10, Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sehubungan itu, Shahrudin menasihatkan pengguna jalan raya supaya memastikan kenderaan berada dalam keadaan selamat sebelum ditinggalkan serta sentiasa memandu dengan cermat dan berhemah bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Kejadian SUV terbabas sehingga memasuki bangunan KKIA itu sebelum ini menarik perhatian orang ramai selepas gambar dan rakaman keadaan kenderaan berkenaan di dalam balai pelepasan tular di media sosial.

Leave feedback about this

  • Rating