Tempatan Utama

507 Geran Tanah PANTAS Diserah Kepada Penduduk Sembilan Kampung di Kadamaian

507 Geran Tanah PANTAS Diserah Kepada Penduduk Sembilan Kampung di Kadamaian

KOTA BELUD: Sebanyak 507 geran tanah di bawah Program Perkhidmatan Khas Tanah Negeri Sabah (PANTAS) diserahkan kepada penduduk sembilan kampung di kawasan Kadamaian, membabitkan keluasan keseluruhan 694.92 ekar.

Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ewon Benedick berkata, penyerahan itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan mempercepatkan penyelesaian urusan hak milik tanah rakyat yang memenuhi syarat kelayakan.

Katanya, geran tanah memberikan kepastian dan pengiktirafan rasmi terhadap hak milik rakyat, selain penting bagi melindungi kepentingan keluarga, mengurangkan pertikaian dan memastikan kedudukan tanah dapat diwariskan dengan lebih jelas kepada generasi akan datang.

Geran berkenaan diserahkan kepada penduduk Kampung Kiau Taburi, Kiau Bersatu, Kiau Nuluh, Tomis Lubing, Tambatuan, Melangkap Tomis, Melangkap Tiong, Melangkap Noriou dan Melangkap Baru.

Kampung Tambatuan menerima jumlah tertinggi iaitu 117 geran melibatkan 256.46 ekar, diikuti Kampung Kiau Bersatu dengan 98 geran melibatkan 132.49 ekar.

Sementara itu, Kampung Kiau Taburi menerima 54 geran, Kiau Nuluh (69), Tomis Lubing (25), Melangkap Tomis (43), Melangkap Tiong (30), Melangkap Noriou (30) dan Melangkap Baru sebanyak 41 geran.

Ewon yang juga ADUN Kadamaian berkata, PANTAS yang dilaksanakan melalui Jabatan Tanah dan Ukur Sabah sejak 2011 bertujuan mempercepatkan pengukuran tanah Anak Negeri serta penyelesaian urusan pemberian hak milik tanah.

Sehingga Jun 2025, sebanyak 70,436 lot tanah adat seluas 488,705 ekar telah diukur menerusi program itu dengan peruntukan Kerajaan Persekutuan berjumlah RM251.34 juta.

Beliau berharap penduduk yang menerima geran tanah dapat menjaga dan mengusahakan tanah berkenaan demi kesejahteraan keluarga.

“Kerajaan akan terus berusaha memastikan urusan tanah rakyat diselesaikan secara teratur, telus dan mengikut undang-undang,” katanya.

Ewon turut berkata, sebagai wakil rakyat, beliau akan terus memperjuangkan peruntukan bagi pelaksanaan Program PANTAS setiap tahun supaya lebih banyak kampung mendapat manfaat.

Katanya, beliau juga akan terus berbincang dengan Kerajaan Persekutuan bagi mendapatkan peruntukan yang diperlukan untuk meneruskan program berkenaan.

Leave feedback about this

  • Rating