Ekonomi

44 PATI Ditahan Dalam Ops Sapu dan Ops Kutip di Kota Kinabalu

KOTA KINABALU, 27 Februari – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan seramai 44 pendatang asing tanpa izin (PATI) menerusi Ops Sapu dan Ops Kutip yang dijalankan di sekitar daerah ini pada 24 dan 25 Februari lalu.

Operasi yang melibatkan 24 pegawai dari Bahagian Penguatkuasa Ibu Pejabat JIM Kota Kinabalu itu memeriksa seramai 72 individu terdiri daripada warganegara Indonesia dan Filipina.

Pengarah JIM Sabah, SH Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, hasil operasi selama dua hari itu membawa kepada penahanan 44 individu yang disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan diri yang sah.

“Tangkapan melibatkan dua warganegara Indonesia iaitu seorang lelaki dan seorang wanita dewasa.

“Selebihnya adalah warganegara Filipina terdiri daripada lapan lelaki, 12 wanita dan 22 kanak-kanak,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut beliau, operasi penguatkuasaan JIM Sabah akan terus dipergiat secara konsisten dan tanpa kompromi.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar Akta Imigresen 1959/63 sebagai komitmen jabatan dalam memastikan keselamatan, ketenteraman awam dan kesejahteraan Negeri Sabah terus terpelihara,” katanya.

Leave feedback about this

  • Rating