
RANAU: Seramai 23 pendatang tanpa izin (PTI) warga Filipina ditahan dalam satu operasi penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah di sekitar daerah ini pada Isnin lalu.
Menurut kenyataan JIM Sabah, tangkapan dibuat hasil pemeriksaan bersepadu yang dijalankan oleh Pejabat Imigresen Daerah Ranau dengan kerjasama Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).
Operasi tersebut dilaksanakan di satu lokasi tumpuan selepas risikan dan pemantauan mendapati kawasan berkenaan dipercayai menjadi tempat tinggal serta pergerakan warga asing tanpa dokumen sah.
“Hasil pemeriksaan terhadap 38 individu mendapati seramai 23 orang gagal mengemukakan dokumen perjalanan dan pas sah. Daripada jumlah itu, 21 adalah lelaki dewasa dan seorang wanita dewasa yang dikenal pasti sebagai warga Filipina,” menurut kenyataan itu.
Semua individu yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen untuk tujuan dokumentasi dan siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana berada di negara ini tanpa pas atau permit sah, selain Seksyen 36 akta sama atas kesalahan melanggar syarat imigresen.
Operasi berkenaan membabitkan seramai 16 pegawai JIM Negeri Sabah bersama anggota RELA daerah Ranau.
JIM Sabah menegaskan bahawa penguatkuasaan akan diteruskan secara berterusan bagi mengekang kebanjiran PTI khususnya di kawasan pedalaman dan lokasi berisiko demi memastikan pematuhan undang-undang serta menjaga keselamatan dan ketenteraman awam.
Orang ramai turut digesa menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan kehadiran warga asing tanpa izin di kawasan masing-masing.


Leave feedback about this