Tempatan Utama

Sabah dijangka tambah 13 kerusi Parlimen

Sabah dijangka tambah 13 kerusi Parlimen

KOTA KINABALU: Sabah dijangka memperoleh tambahan sehingga 13 kerusi Parlimen bagi mengimbangi nisbah satu pertiga wakil Sabah dan Sarawak di Dewan Rakyat.

Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Masiung Banah berkata, cadangan itu perlu dibincangkan di peringkat Kabinet negeri sebelum dilaksanakan secara rasmi oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Katanya, jika pertambahan 13 kerusi itu dilaksanakan, jumlah kerusi Parlimen Sabah akan meningkat daripada 25 kepada 38 kerusi.

Beliau turut menjangkakan pertambahan kerusi Parlimen itu akan disusuli pertambahan kerusi DUN bagi memastikan perwakilan di negeri ini lebih seimbang.

“Suara etnik minoriti jauh terpinggir di kawasan luar bandar memerlukan wakil seimbang sesuai perkembangan kemajuan negara.

“Jangkaan itu dilihat relevan bagi memastikan peruntukan pembangunan negeri dan Parlimen dapat diagih secara lebih mikro,” katanya.

Masiung berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri upacara menandatangani perjanjian antara Sedco Commanation Sdn. Bhd. (Scomm) dan tiga syarikat swasta, di sini, tengah hari tadi.

Beliau berkata, Sabah ketika ini mempunyai 73 kawasan DUN dan dijangka menyaksikan pertambahan antara 25 hingga 28 kerusi baharu.

Menurutnya, faktor geografi Sabah yang luas, termasuk kawasan terpencil di Pedalaman, memerlukan jumlah perwakilan yang lebih representatif dan setara.

Katanya, tumpuan perlu diberikan kepada kawasan yang mempunyai cabaran pembangunan, termasuk Tongod, Beluran, Pitas, Kinabatangan, Kota Marudu, Tuaran, Ranau dan Lahad Datu.

ADUN Kuamut itu menjangkakan pertambahan kerusi DUN dan Parlimen lebih banyak tertumpu di kawasan Pantai Timur dan Pedalaman Atas.

Mengulas lanjut, Masiung berkata, Tongod merupakan antara daerah terbesar di Sabah, diikuti Kinabatangan, Lahad Datu, Ranau, Beluran, Pensiangan dan kawasan Pedalaman Atas.

Beliau berkata, kawasan berkenaan berpotensi menyaksikan tambahan kerusi baharu bagi DUN dan Parlimen.

Sebelum ini, Kerajaan Persekutuan bersetuju secara prinsip untuk meminda Perlembagaan bagi membolehkan tambahan wakil Parlimen Sabah dan Sarawak, selaras dengan dasar di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Dalam perkembangan berkaitan, Scomm turut menandatangani perjanjian kerjasama telekomunikasi dengan Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) Kota Kinabalu, ITTC Penampang, Hyatt Regency dan U Mobile Kota Kinabalu.

Sumber Utusan Borneo

Leave feedback about this

  • Rating