Tempatan Utama

Ekonomi Sandakan Masih Perlahan, Kerajaan Diminta Perhebat Gerak Kerja

Ekonomi Sandakan Masih Perlahan, Kerajaan Diminta Perhebat Gerak Kerja

SANDAKAN: Sandakan memerlukan gerak kerja lebih kukuh dan terselaras daripada kerajaan bagi memulihkan ekonomi serta mengembalikan bandar itu ke landasan pertumbuhan yang mampan.

Naib Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP), Chong Thien Ming berkata, komuniti perniagaan di Sandakan masih terkesan sejak pandemik COVID-19 apabila beberapa kilang utama ditutup, manakala banyak perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bergelut untuk meneruskan operasi.

Katanya, walaupun ekonomi Sandakan menunjukkan pemulihan secara beransur-ansur, kadarnya masih perlahan dan banyak perniagaan beroperasi secara berhati-hati.

“Sesetengah perniagaan terpaksa mengurangkan tenaga kerja, manakala ada yang terpaksa memberhentikan pekerja atau akhirnya menutup operasi,” katanya dalam kenyataan.

Chong berkata, kelangsungan perniagaan semata-mata tidak mencukupi sebagai strategi ekonomi jangka panjang kerana Sandakan memerlukan peluang baharu, pelaburan serta keyakinan pelabur.

Menurutnya, Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) memainkan peranan penting dalam memperbaiki kemudahan awam dan mewujudkan persekitaran lebih mesra perniagaan, namun usaha memulihkan ekonomi tidak boleh dipikul MPS sahaja.

“Apa yang Sandakan perlukan sekarang bukan sekadar mencantikkan bandar. Kita memerlukan pelaburan, kilang, industri hiliran, peluang pekerjaan dan aktiviti ekonomi baharu,” katanya.

Beliau berkata, sektor pembuatan, industri hiliran, pemprosesan makanan dan logistik mempunyai potensi untuk menarik pelaburan baharu serta mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

Chong turut menggesa kerajaan dan agensi pelaburan memperkukuh sokongan kepada PKS menerusi akses pembiayaan, teknologi, latihan kemahiran dan pasaran baharu.

Katanya, PKS tempatan perlu diberi peluang menjadi pembekal, kontraktor, pengusaha pengangkutan dan penyedia perkhidmatan apabila pelaburan baharu masuk ke Sandakan.

Sementara itu, beliau menyambut baik jangkaan penglibatan PETRONAS dalam sektor gas yang disifatkannya sebagai peluang ekonomi baharu kepada Sandakan.

Menurutnya, sekiranya dokumentasi dan kelulusan berkaitan dapat diselesaikan, pembangunan berkenaan boleh dimulakan seawal tahun depan, manakala sektor gas dijangka mula beroperasi sekitar 2029.

“Ini peluang yang perlu kita persiapkan dari sekarang. Kita tidak seharusnya menunggu sehingga projek bermula sebelum bertanya bagaimana perniagaan di Sandakan boleh mengambil bahagian,” katanya.

Leave feedback about this

  • Rating