
Jerebu Sabah: Aktiviti Luar Dikurangkan, Kesihatan Diutamakan
KOTA KINABALU: Orang ramai di Sabah dinasihatkan mengurangkan aktiviti fizikal dan kegiatan luar rumah berikutan keadaan kualiti udara yang terjejas akibat jerebu di beberapa kawasan negeri itu.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Haji Nizam DSP Haji Abu Bakar Titingan, berkata berdasarkan maklumat Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sabah, keadaan berkenaan antara lain berpunca daripada asap tebal akibat kebakaran hutan dan tanah gambut di Kalimantan yang dibawa angin ke wilayah Borneo termasuk Sabah.
Katanya, beberapa kawasan termasuk Tawau, Semporna dan Kota Kinabalu merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat.
“Keadaan ini perlu diberikan perhatian serius, khususnya memandangkan bacaan IPU boleh berubah dari semasa ke semasa bergantung kepada keadaan cuaca dan pergerakan angin,” katanya dalam kenyataan media bertarikh 1 September 2026.
Beliau turut menasihatkan golongan yang lebih terdedah seperti kanak-kanak, belia, warga emas serta individu yang mempunyai masalah kesihatan dan pernafasan supaya mengurangkan aktiviti fizikal dan aktiviti luar ketika kualiti udara berada pada tahap tidak sihat.
Dalam masa sama, persatuan sukan, akademi, kelab, jurulatih dan penganjur program diminta memantau bacaan IPU di kawasan masing-masing serta membuat penyesuaian terhadap latihan atau aktiviti luar.
Menurutnya, sekiranya keadaan tidak mengizinkan, aktiviti berintensiti tinggi di kawasan terbuka wajar dikurangkan, ditangguhkan atau dipindahkan ke lokasi tertutup yang bersesuaian.
Nizam turut menyeru orang ramai supaya tidak melakukan sebarang pembakaran terbuka yang boleh memburukkan lagi keadaan kualiti udara.
“Sebarang kejadian pembakaran terbuka atau kebakaran hendaklah segera dilaporkan kepada pihak berkuasa supaya tindakan dapat diambil,” katanya.
Beliau berkata Kerajaan Negeri melalui agensi berkaitan akan terus mengikuti perkembangan semasa, termasuk meningkatkan pemantauan, rondaan dan penguatkuasaan.
Beliau turut mengingatkan semua pihak supaya mendapatkan maklumat terkini mengenai bacaan IPU melalui saluran rasmi serta mematuhi nasihat pihak berkuasa demi menjaga kesihatan dan keselamatan.


Leave feedback about this