
PAPAR: Polis Siasat Video Kanak-Kanak Dikerumuni Beberapa Individu
PAPAR: Polis sedang menyiasat rakaman video tular yang memaparkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun dikerumuni beberapa individu di sebuah taman permainan di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Papar, Superintenden Heryan Mohd Tahir berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 14 Ogos lalu.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian membabitkan mangsa bersama beberapa individu berusia antara 13 hingga 18 tahun.
“Siasatan mendapati berlaku perselisihan selepas mangsa dipercayai cuba menghisap puntung rokok walaupun sudah ditegur dan dilarang individu terbabit.
“Mangsa kemudian dipegang beberapa individu, manakala seorang lagi dipercayai menyalakan pemetik api ke arahnya dengan tujuan menakutkan mangsa,” katanya dalam kenyataan.
Heryan berkata, sebahagian kejadian dirakam menggunakan telefon bimbit sebelum dikongsikan menerusi WhatsApp dan kemudiannya tersebar.
Bagaimanapun, mangsa disahkan tidak mengalami kecederaan fizikal, manakala keluarga terbabit pada peringkat awal menyelesaikan perkara itu secara baik.
Katanya, polis bagaimanapun meneruskan siasatan selepas menerima permintaan supaya tindakan lanjut diambil.
Kes disiasat mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan berkaitan ugutan jenayah.
“Polis sedang melengkapkan siasatan termasuk merakam percakapan pengadu, mangsa, saksi dan individu terbabit.
“Pemeriksaan di lokasi serta pengumpulan bahan bukti berkaitan turut dijalankan,” katanya.
Heryan berkata, PDRM memandang serius sebarang perbuatan yang boleh mendatangkan bahaya, ketakutan atau kecederaan kepada kanak-kanak.
Beliau menegaskan alasan bergurau, menakutkan atau mendidik tidak boleh dijadikan sebab untuk melakukan perbuatan yang membahayakan kanak-kanak.
Orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak tepat berkaitan kejadian berkenaan.
“Orang ramai juga diminta tidak terus berkongsi rakaman berkenaan kerana kes membabitkan kanak-kanak dan masih dalam siasatan,” katanya.
Pada masa sama, ibu bapa dan penjaga diminta memantau pergaulan serta aktiviti anak-anak termasuk penggunaan media sosial.
Terdahulu, tular rakaman video memaparkan seorang kanak-kanak lelaki dikerumuni beberapa individu sebelum dipegang, manakala seorang lagi individu dilihat menyalakan pemetik api ke arah kanak-kanak berkenaan.
Sumber Utusan Borneo


Leave feedback about this