
133 PTI termasuk 27 kanak-kanak ditahan dalam 20 operasi di Sabah
KOTA KINABALU: Seramai 133 pendatang tanpa izin (PTI) termasuk 27 kanak-kanak ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah dalam 20 operasi penguatkuasaan di seluruh negeri, bermula 27 Ogos hingga 3 September lalu.
Pengarah JIM Sabah, Datuk Sitti Saleha Habib Yussof berkata, sebanyak 289 individu diperiksa dalam operasi yang dijalankan di pelbagai lokasi strategik.
Katanya, daripada jumlah itu, 133 individu ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen.
“Daripada jumlah tangkapan, 97 adalah warga Filipina terdiri daripada 45 lelaki, 25 wanita, 18 kanak-kanak lelaki dan sembilan kanak-kanak perempuan.
“Turut ditahan ialah 32 warga Indonesia membabitkan 27 lelaki dan lima wanita serta empat lelaki warga Pakistan,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, operasi penguatkuasaan akan terus dipergiatkan secara berterusan di lokasi strategik seluruh Sabah bagi membanteras kehadiran PTI serta menangani penyalahgunaan kemudahan imigresen.
Beliau berkata, tindakan itu penting bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen selain membendung aktiviti yang boleh menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam.
Dalam pada itu, Sitti Saleha mengingatkan orang ramai supaya tidak melindungi, menggaji atau membantu warga asing yang melanggar undang-undang negara.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan PTI boleh menyalurkannya kepada JIM Sabah melalui portal Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) atau Sistem Pertanyaan Online (SPO),” katanya.


Leave feedback about this