
LAHAD DATU: Seorang lelaki warga emas berusia 69 tahun maut selepas dipercayai dipijak seekor gajah liar dalam kejadian di kawasan Ladang Begahak 2, Jalan Tungku, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, mangsa dilaporkan mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital.
Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintendan Jimmy Panyau berkata, siasatan awal mendapati mangsa berada di lokasi bersama anaknya sebelum diserang secara tiba-tiba oleh haiwan berkenaan.
Menurutnya, anak mangsa sempat menyelamatkan diri dan cuba membantu bapanya dengan menjerit serta mengalih perhatian gajah tersebut, namun gagal.
“Selepas gajah itu beredar, mangsa segera dibawa ke Hospital Lahad Datu untuk rawatan, namun disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, hasil siasatan mendapati gajah berkenaan adalah gajah tunggal dan tidak bergerak dalam kumpulan.
Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR). Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Balai Polis Tungku atau hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu.
Sehubungan itu, penduduk khususnya di kawasan Tungku dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan berhati-hati dengan kehadiran gajah liar di kawasan masing-masing.


Leave feedback about this