
PPM W4 Sabah Rampas 11.06kg Syabu Bernilai Lebih RM550,000 di Perairan Semporna
SEMPORNA, 10 Ogos 2026 – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah merampas 11.06 kilogram dadah disyaki methamphetamine atau syabu bernilai lebih RM550,000 dalam operasi di perairan Kampung Terusan Hujung, Pulau Bum Bum, awal pagi tadi.
Komander PPM W4 Sabah, ACP Ahmad Amri Abd Rahman berkata, operasi kira-kira jam 1.45 pagi itu dijalankan susulan maklumat risikan berkaitan kegiatan pengedaran dadah.
Menurutnya, pasukan operasi mengesan sebuah bot laju dalam keadaan mencurigakan sebelum cuba menghampirinya.
“Bagaimanapun, seorang lelaki yang berada di atas bot berkenaan bertindak terjun ke laut sebelum melarikan diri ke kawasan daratan.
“Usaha mengesan suspek telah dijalankan, namun gagal menemui individu berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Hasil pemeriksaan terhadap bot yang ditinggalkan itu menemukan 11 bungkusan mengandungi ketulan hablur jernih yang disyaki syabu dengan anggaran berat kasar 11.06 kilogram.
Dadah berkenaan dianggarkan bernilai lebih RM550,000, manakala jumlah keseluruhan rampasan termasuk sebuah bot dianggarkan bernilai lebih RM578,000.
Kes disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sementara itu, sepanjang tahun ini, PPM W4 Sabah telah merekodkan 15 kes di bawah akta sama membabitkan 24 tangkapan, dengan nilai keseluruhan rampasan melebihi RM718,000.
PPM W4 Sabah menegaskan pihaknya akan terus memperhebatkan risikan dan rondaan secara bersepadu bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sabah bagi membanteras kegiatan pengedaran serta penyeludupan dadah.
Usaha itu penting bagi memastikan kegiatan berkenaan tidak terus mengancam keselamatan dan kesejahteraan masyarakat, khususnya di kawasan perairan Sabah.


Leave feedback about this