
TUARAN: Program pembangunan dan pembaharuan yang dirancang kerajaan akan musnah jika pembangkang diberi kuasa selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-17 (PRU17 Sabah) 29 November ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor menyatakan kebimbangan itu berdasarkan pengalaman ketika Parti Warisan mengambil alih kerajaan pada 2018.
Menurutnya, ketika itu Warisan lebih banyak bertindak atas dasar dendam dan membuat keputusan terburu-buru termasuk menamatkan konsesi air sehingga menyebabkan kerugian lebih RM315 juta kepada kerajaan serta menjejaskan kestabilan bekalan air.
“Mereka potong lagi konsesi air hingga kerajaan rugi RM315 juta, mereka tidak fikir kesannya, hanya mahu balas dendam dan tabur fitnah.
“Pemimpin seperti ini dan parti yang mereka pimpin tidak boleh kita sokong jadi kerajaan, hancur kita. Saya tidak mahu cakap, tapi rakyat mesti tahu ini.
“Berpuluh tahun jadi wakil rakyat, Shafie cakap dia paling lama, tapi mungkin dia lupa, kerana dia ingat dia saja pandai. Saya tidak pernah dabik dada, kalau wakil rakyat, saya lagi lama daripada Shafie,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Penutupan Hari Sukan dan Keluarga Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Parlimen Tuaran di Dewan Seri Sulaman, di sini, pada Khamis.

Hajiji berkata, seorang lagi pemimpin yang pernah berada dalam Kabinet pimpinannya melakukan cubaan merebut kuasa melalui Langkah Kinabalu, namun tidak menunjukkan prestasi yang baik semasa dalam kerajaan.
“Selama di Kabinet tidak tahu berapa kali saja datang mesyuarat, tidak buat kerja, banyak jalan berlubang, tutuplah semua.
“Lebih tiga tahun jadi menteri sekarang cakap kerajaan gagal, tapi sebenarnya mereka yang gagal, bukan kerajaan yang saya pegang,” katanya.

Hajiji berkata, banyak kejayaan dilakar kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi, pelaburan, pendidikan dan kebajikan rakyat, malah melaksanakan pelbagai inisiatif baharu yang tidak pernah dilakukan kerajaan sebelum ini.
Atas sebab itu, katanya, rakyat perlu memberi kemenangan kepada GRS bagi memastikan kesinambungan pencapaian dan usaha yang dirancang supaya rakyat terus menikmati manfaatnya.
Sementara itu, Hajiji membayangkan untuk menghabiskan tempoh perkhidmatannya sehingga akhir penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-17 jika GRS memenangi PRU Sabah pada 29 November ini.
Calon GRS bagi kerusi DUN Sulaman itu berkata, beliau mahu memastikan kemenangan berpihak kepada GRS bagi membolehkan agenda pembangunan di bawah halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ) diteruskan untuk lima tahun lagi sebelum menyerahkan tanggungjawab kepada penggantinya nanti.
Sebagai Ketua Menteri, katanya, beliau sedaya upaya melakukan yang terbaik untuk Sabah dan rakyatnya tanpa melupakan penyokongnya sendiri di Sulaman meskipun sibuk dengan tugas negeri yang memerlukan komitmen besar.
“Insya-Allah, apapun yang kita buat dengan baik, Tuhan akan balas. Jangan aniaya orang, jangan tekan orang. Saya tidak pernah aniaya dan tekan orang walaupun mereka terang-terang di pihak sebelah (pembangkang).
“Ada pegawai yang dilantik dulu (kerajaan sebelum ini), yang penting kerja bagus dan mereka masih teruskan tugas sehingga sekarang. Itulah saya. Jadi tidak juga bagus saya jadi Ketua Menteri lama-lama, tidak pandai cantas orang. Kalau terlampau bagus pun, orang anggap kita lemahlah, sentimentallah,” katanya.
Beliau turut mengingatkan semua pihak termasuk pemimpin parti komponen GRS dan akar umbi di Tuaran supaya bersama memastikan sokongan padu rakyat kepada GRS bagi memenangi pilihan raya kali ini.
“Kita mesti ada perasaan yang baik untuk tujuan menangkan kerajaan kita, itu saja. Daripada pilih orang lain, lebih bagus parti kita GRS,” katanya.
Sumber Utusan Borneo


Leave feedback about this