Tempatan Utama

UPPM, JAPEN Sabah Perkukuh Kerjasama Salur Maklumat Sahih

UPPM, JAPEN Sabah Perkukuh Kerjasama Tangani Berita Palsu

KOTA KINABALU: Kerjasama strategik antara Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) dan Jabatan Penerangan (JAPEN) Sabah akan diperkukuh bagi membendung penyebaran berita palsu serta memperkasakan penyampaian dasar kerajaan kepada rakyat.

Pengarah UPPM, Datuk Awang Kadin Tang berkata, dalam era digital tanpa sempadan, masyarakat semakin terdedah kepada pelbagai maklumat tidak rasmi yang diragui kesahihannya.

Menurut beliau, kerjasama erat dengan JAPEN Sabah penting bagi memastikan rakyat menerima maklumat yang tepat, sekali gus menyokong pelaksanaan agenda pembangunan kerajaan negeri.

Katanya, UPPM mempunyai 73 pejabat di seluruh Sabah yang berperanan menyampaikan pelbagai inisiatif kerajaan secara terus kepada masyarakat, termasuk di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat Pengarah JAPEN Sabah, Jainisah Mohd Noor, di Ibu Pejabat UPPM pada Isnin.

Awang Kadin turut memaklumkan UPPM sedang memperluaskan kerjasama dengan beberapa agensi Persekutuan menerusi Program Seminar Kenegaraan Malaysia MADANI Komuniti UPPM 2026 yang melibatkan ketua kampung, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Setiausaha Kampung, Ketua Anak Negeri serta Kapitan.

Program berkenaan telah dilaksanakan di Sandakan, Tawau dan Kota Marudu, manakala Beaufort, Kota Kinabalu serta Keningau akan menjadi lokasi seterusnya.

Sementara itu, Jainisah berkata, JAPEN Sabah komited meneruskan kerjasama dengan UPPM melalui pelbagai program berimpak tinggi serta memperkukuh penyampaian maklumat menggunakan pendekatan kreatif termasuk konsep infotainment dan platform media sosial bagi memastikan mesej kerajaan sampai kepada masyarakat dengan lebih berkesan.

Leave feedback about this

  • Rating