
TAWAU: Dua lelaki warga tempatan ditahan polis selepas disyaki mengugut seorang warga emas menggunakan senjata tajam di Kampung Pengkalan Asli, Merotai Besar, malam semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 8 malam apabila kedua-dua suspek datang ke rumah mangsa sebelum bertindak mengamuk.
Katanya, suspek utama yang juga menantu mangsa memegang pedang samurai manakala adik lelakinya membawa parang, selain mengugut mangsa sehingga menimbulkan ketakutan.
Kejadian berpunca apabila isteri suspek utama yang juga anak perempuan mangsa ingin bermalam di rumah bapanya, namun perkara itu tidak dipersetujui suspek sebelum berlaku pertengkaran keluarga.
Mangsa berusia 63 tahun kemudian membuat laporan polis sebelum kedua-dua suspek diberkas kira-kira jam 12.10 tengah malam.
Polis menegaskan tidak akan berkompromi terhadap sebarang ugutan dan menasihatkan orang ramai segera membuat laporan sekiranya berdepan situasi berbahaya.


Leave feedback about this