Tempatan Utama

Toyota Hilux Digunakan Seludup Rokok Bernilai RM593,800, Dua Lelaki Ditahan di Tawau

TAWAU: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah berjaya menggagalkan aktiviti penyeludupan rokok tidak bercukai selepas menahan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dalam satu operasi di Jalan Sin On Tiku, di sini pada 23 Jun 2026 kira-kira jam 9 malam.

Operasi berkenaan dijalankan hasil maklumat awam dan risikan sebelum sepasukan anggota PPM menahan kenderaan tersebut yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.

Hasil pemeriksaan lanjut, polis menemukan sejumlah besar rokok tidak bercukai yang disembunyikan di dalam kenderaan berkenaan. Rokok pelbagai jenama termasuk Premium, Nice, L.A Menthol dan L.A Mango itu dipercayai diseludup masuk dari negara jiran Indonesia untuk dipasarkan di sekitar Tawau.

Dalam operasi itu, dua lelaki warga tempatan berusia 35 dan 40 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan.

Keseluruhan rampasan melibatkan 365,200 batang rokok tidak bercukai dengan anggaran nilai RM593,800 termasuk kenderaan Toyota Hilux yang digunakan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. Pihak PPM Wilayah 4 Sabah akan terus mempergiat operasi bagi membanteras aktiviti penyeludupan yang menjejaskan hasil negara serta keselamatan awam.

Leave feedback about this

  • Rating