Tempatan Utama

Tiga Wanita Dari Kota Kinabalu Ditahan Di Jakarta, Disyaki Cuba Seludup Dadah

KUALA LUMPUR: Tiga wanita warga Malaysia dari Kota Kinabalu, Sabah ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta pada Isnin lalu selepas dipercayai cuba menyeludup pelbagai jenis dadah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, ketiga-tiga wanita berusia antara 30 hingga 39 tahun itu berasal dari Sabah, dengan dua daripada mereka mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat awal, kuantiti dadah yang dirampas dipercayai lebih menjurus kepada kegunaan sendiri kerana jumlahnya yang kecil.

Menurut laporan, ketiga-tiga suspek berlepas dari Kota Kinabalu dan tiba di Terminal 2F Lapangan Terbang Soekarno-Hatta pada 3 Ogos sebelum dikesan bertindak mencurigakan.

Pemeriksaan ke atas bagasi dan kasut mereka menemui pelbagai jenis dadah, termasuk kokain seberat 0.5 gram, 0.3 gram dan 2 gram, pil ekstasi seberat 4.2 gram, serbuk ketamin 1.8 gram serta rokok mengandungi ketamin seberat 16.9 gram.
Penahanan itu merupakan kes ketiga cubaan menyeludup dadah melibatkan rakyat Malaysia ke Indonesia dalam tempoh singkat.

Sebelum ini, seorang pembantu juruterbang sebuah syarikat penerbangan nasional ditahan selepas didakwa cuba menyeludup lebih 70,000 pil ekstasi, manakala seorang lagi lelaki Malaysia berusia 22 tahun ditahan kerana cuba membawa hampir satu kilogram syabu dan lebih 1,000 pil ekstasi yang dilekatkan pada badannya.

Sumber BuletinTv3

Leave feedback about this

  • Rating