Tempatan Utama

Tiga Spesies Udang Karang Baharu Direkodkan di Perairan Sabah

KOTA KINABALU, 16 Mac (Bernama) — Institut Marin Borneo (IMB) Universiti Malaysia Sabah (UMS) merekodkan tiga spesies udang karang berduri dari perairan Sabah buat kali pertama, yang dua daripadanya ialah rekod baharu di Malaysia dan satu lagi rekod baharu bagi Sabah.

Penyelidik IMB UMS Profesor Madya Dr Chen Cheng yang mengetuai penyelidikan berkenaan berkata penemuan itu mengukuhkan status Sabah sebagai kawasan kepelbagaian biodiversiti marin bertaraf dunia.

Beliau berkata penyelidikan berkenaan telah mengenal pasti Panulirus homarus homarus dan P. femoristriga rekod baharu di Malaysia, dan P. polyphagus rekod baharu di Sabah. Sebelum kajian ini, hanya tiga spesies, iaitu Panulirus ornatus, P. versicolor dan P. longipes diketahui terdapat di perairan Sabah sejak 2004.

“Penemuan ini signifikan kerana ia mengemas kini rekod biodiversiti marin Malaysia serta menekankan keperluan untuk memperkukuh pengurusan sumber perikanan di Sabah,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Beliau berkata penyelidikan berkenaan juga telah menggandakan jumlah tersebut kepada enam spesies, sekali gus menunjukkan bahawa masih banyak biodiversiti marin Sabah yang belum diterokai.

 

“Walaupun berdepan pelbagai kekangan, kajian ini berjaya menggandakan kepelbagaian udang karang berduri yang diketahui di Sabah, termasuk dua spesies yang juga rekod baharu bagi Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UMS Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor memuji kejayaan pasukan penyelidik, yang disifatkan sebagai satu pencapaian penting dalam bidang sains marin serta mencerminkan kecemerlangan penyelidikan negara.

“Saya merakamkan penghargaan kepada Dr. Chen atas dedikasi serta ketabahan mereka dalam menjayakan penyelidikan ini,” katanya.

Leave feedback about this

  • Rating