Tempatan Utama

Tiga Remaja Ditahan Kes Rogol Pelajar Tingkatan Tiga di Tawau

TAWAU: Polis telah menahan tiga remaja lelaki berusia antara 15 hingga 16 tahun kerana disyaki merogol seorang pelajar perempuan tingkatan tiga di Merotai, di sini, semalam.

Ketiga-tiga suspek yang juga pelajar itu ditahan di Pondok Polis Merotai kira-kira jam 6.50 petang, dalam tempoh kurang 24 jam selepas ibu mangsa membuat laporan polis pada jam 4.43 petang hari yang sama.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Polis (ACP) Jasmin Hussin berkata, kejadian terbongkar selepas mangsa menceritakan insiden tersebut kepada guru kaunseling sekolahnya, sebelum dimaklumkan kepada ibu mangsa.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian rogol berlaku pada Ahad lalu apabila mangsa dibawa oleh seorang suspek menaiki kereta ke sebuah rumah sebelum dirogol. Dua lagi rakan suspek turut ditahan kerana dipercayai bersubahat dalam kejadian itu.

Mangsa juga mendakwa dia dimalukan serta diejek dengan kata-kata tidak senonoh oleh rakan-rakan suspek di sekolah setiap hari.

Kesemua suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Polis menegaskan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam jenayah seksual dan memberi jaminan siasatan akan dijalankan secara menyeluruh sebelum tindakan tegas diambil.

Dalam pada itu, ACP Jasmin menasihati ibu bapa agar sentiasa memantau pergerakan serta pergaulan anak-anak, selain peka terhadap perubahan tingkah laku mereka. Kerjasama erat antara pihak sekolah dan masyarakat amat penting bagi membendung gejala sosial dalam kalangan remaja.

Leave feedback about this

  • Rating