
TAWAU: Tiga beradik dari Tawau sekali lagi mengharumkan nama Sabah dan Malaysia apabila dijemput membuat persembahan bersama sebuah orkestra simfoni terkemuka Eropah pada Piano Concerto Festival 2026 di Perancis.
Pang Guan Shen (16), Pang Guan Er (12) dan Pang Guan Yuan (10) menerima pengiktirafan itu selepas muncul juara Pacific Stars International Piano Competition 2025, sekali gus melayakkan mereka menyertai konsert penutup festival yang berlangsung di Château Capdeville, Fronton, Perancis pada 26 Jun lalu.
Konsert berprestij itu hanya menampilkan pemain piano muda terbaik yang dipilih untuk membuat persembahan bersama orkestra simfoni, sekali gus membuktikan kemampuan luar biasa tiga beradik tersebut di pentas antarabangsa.
Pada persembahan berkenaan, Guan Shen memainkan karya Mozart Piano Concerto No. 23 in A Major, K.488, Guan Er mempersembahkan Bach Piano Concerto No. 1 in D Minor, BWV 1052, manakala Guan Yuan memainkan Haydn Piano Concerto No. 11 in D Major. Persembahan mereka menerima tepukan gemuruh daripada penonton.
Festival itu merupakan sebahagian daripada Montauban Piano Festival, antara festival piano paling berprestij di Perancis yang menghimpunkan pemain piano, tenaga pengajar muzik dan orkestra bertaraf dunia menerusi konsert, kelas induk dan persembahan muzik klasik.
Kejayaan tiga beradik itu adalah kesinambungan kecemerlangan mereka selepas menjuarai Pacific Stars International Piano Competition 2025, pertandingan yang mendapat pengiktirafan daripada pelbagai institusi muzik terkemuka dunia termasuk The Juilliard School, Curtis Institute of Music, Yale School of Music dan Royal Academy of Music.
Sejak kecil, ketiga-tiga mereka aktif menyertai pertandingan piano antarabangsa dan meraih pelbagai anugerah di Malaysia serta luar negara. Mereka turut diiringi ibu bapa, Pang Wen Jie dan Ooi Yi Hwa, sepanjang berada di Perancis.
Kejayaan ini bukan sahaja menjadi pencapaian penting dalam perjalanan seni mereka, malah mengangkat nama Tawau, Sabah dan Malaysia di persada muzik klasik antarabangsa, sekali gus membuktikan bakat muda negara mampu berdiri sebaris dengan pemuzik terbaik dunia.


Leave feedback about this