
KUALA LUMPUR: Tiada cadangan menaik taraf Laluan Persekutuan 22 melibatkan jalan Tamparuli-Ranau di Sabah dikenal pasti dalam Pelan Pembangunan Rangkaian Jalan Raya 2040 (HNDP 2040), kata Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Beliau berkata, berdasarkan data terkini stesen bancian lalu lintas di laluan itu pada 2024, tahap perkhidmatan jalan atau Level of Service (LOS) berada pada tahap A, iaitu kategori paling kurang sesak, sekali gus masih mampu menampung aliran trafik sedia ada.
Menurutnya, Kementerian Kerja Raya (KKR) telah menerbitkan HNDP 2040 bagi mengenal pasti keperluan menaik taraf jalan sedia ada atau membina jalan baharu melibatkan jalan persekutuan serta jalan utama negeri di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.
“Kajian ini merangkumi pelbagai aspek termasuk isi padu trafik, guna tanah, ekonomi, alam sekitar dan sosioekonomi bagi mewujudkan rangkaian jalan raya yang lebih efisien melibatkan negeri dan wilayah-wilayah berkaitan.
“Namun, hasil semakan kementerian mendapati tiada cadangan projek dalam HNDP 2040 bagi menaik taraf Laluan Persekutuan 22,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Datuk Seri Madius Tangau (UPKO-Tuaran) yang ingin tahu adakah kerajaan bercadang menaik taraf jalan Tamparuli-Ranau bagi menangani masalah kesesakan di laluan berkenaan.
Ahmad bagaimanapun memaklumkan, terdapat perancangan projek jajaran alternatif di bawah Lebuhraya Pan Borneo Fasa 2 termasuk menaik taraf Jalan Kiulu–Pahu–Tamparuli kepada empat lorong dengan reka bentuk R4 sepanjang 24.8 kilometer (km).
Turut dalam perancangan, katanya, naik taraf Jalan Pahu–Randagong–Ranau dua lorong reka bentuk R4 sepanjang 21.66 km serta Jalan Pahu–Tamparuli kepada empat lorong reka dengan bentuk R4 sepanjang 15.72 km.
“Fokus utama kementerian ketika ini adalah memastikan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1A dan Fasa 1B melibatkan pembinaan infrastruktur jalan raya sepanjang 706 km merangkumi 35 pakej kerja disiapkan mengikut jadual serta spesifikasi ditetapkan.
“Selain itu, kerajaan turut meluluskan projek pembaikan cerun di Kilometer 55.3 Jalan Kota Kinabalu–Sandakan (Laluan Persekutuan 22) di Tuaran, Sabah di bawah Rolling Plan 1 (RP1) Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13),” jelasnya.
Menjawab soalan tambahan Madius berhubung ketepatan penilaian tahap kesesakan di laluan Tamparuli–Ranau, Ahmad mengakui satu kajian baharu perlu dilaksanakan bagi memastikan data adalah lebih terkini dan tepat.
Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya akan mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk menjalankan kajian pada tahun ini bagi menilai semula tahap perkhidmatan sebenar laluan berkenaan.
Sumber Nabalu News


Leave feedback about this