
KOTA KINABALU: Keputusan Mahkamah Rayuan Malaysia membenarkan kerajaan Persekutuan menangguhkan pembayaran 40 peratus hasil bersih kepada Sabah disifatkan sebagai satu tamparan hebat terhadap aspirasi rakyat negeri itu.
Penyelidik Geopolitik dan Elektoral Sabah (GeoPES), Dr. Syahruddin Awang Ahmad berkata, tuntutan itu merupakan hak perlembagaan yang jelas termaktub di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.
Menurutnya, penangguhan tersebut bukan sahaja menjejaskan kedudukan kewangan negeri, malah melambatkan proses pemulihan ekonomi Sabah yang memerlukan suntikan dana besar bagi merapatkan jurang pembangunan.
Beliau berkata, kegagalan menyalurkan dana berkenaan berpotensi menjejaskan pelaksanaan projek kritikal seperti naik taraf bekalan air, elektrik dan rangkaian jalan raya yang sekian lama menjadi rungutan penduduk tempatan.
Dalam masa sama, beliau menegaskan ketidakstabilan dari segi kawalan kewangan akan menyukarkan kerajaan negeri merancang pembangunan jangka panjang yang mampan dan berdaya saing.
Mengulas kesan sosial, katanya, kelewatan berterusan turut menjejaskan kesejahteraan rakyat khususnya di kawasan pedalaman yang masih berdepan kekurangan kemudahan pendidikan dan kesihatan.
Beliau turut memaklumkan rakyat Sabah kini semakin sedar akan hak mereka di bawah Perjanjian Malaysia 1963 dan dijangka akan terus menuntut ketelusan dalam pelaksanaannya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan keadilan kepada Sabah tidak seharusnya ditangguhkan atas alasan teknikal semata-mata, sebaliknya kepentingan rakyat perlu diutamakan bagi memastikan pembangunan negeri dapat dilaksanakan secara menyeluruh.


Leave feedback about this