
KOTA BELUD: Mantan Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Fairuz Renddan menjelaskan bahawa beliau sudah menghantar surat perletakan jawatan kepada parti itu, petang kelmarin (Jumaat, 14 November 2025).
Beliau yang kini calon Bebas Dewan Undangan Negeri (DUN) Pintasan berkata, pihak Gagasan Rakyat sudah menerima surat perletakan jawatannya pada jam 2.45 petang pada Jumaat.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan media, di sini semalam.
Dalam perkembangan lain, Setiausaha Agung Gagasan Rakyat, Datuk Mohammad Razali Razi terdahulu mengeluarkan kenyataan bahawa ahli parti yang bertanding atas tiket Bebas dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-17 (PRU 17 Sabah) akan dipecat serta merta.
Pagi semalam, Fairuz hadir di Pusat Penamaan Calon di Dewan Masyarakat Tun Said Keruak dengan borang penamaan calon Bebas bagi kerusi DUN Pintasan bersama ribuan penyokong yang memakai baju kemeja T hitam sambil melaungkan sorakan ‘Kita Lawan’.
Beliau bertanding atas tiket bebas selepas namanya digugurkan daripada senarai calon Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sekali gus parti itu memberi laluan kepada Pandikar sebagai calon bagi DUN itu.


Leave feedback about this