Tempatan Utama

Sudah 40 Tahun Diduduki, Hajiji Tegaskan Kampung Pondo Tetap Penempatan Setinggan

Sudah 40 Tahun Diduduki, Hajiji Tegaskan Kampung Pondo Tetap Penempatan Setinggan

KOTA KINABALU: Isu penempatan penduduk Kampung Pondo, Pulau Gaya bukan perkara baharu apabila kawasan berkenaan sudah diduduki sejak kira-kira 40 tahun lalu, namun statusnya sebagai penempatan setinggan masih kekal.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, kerajaan negeri sudah lama mengeluarkan nasihat supaya penduduk tidak mendirikan rumah di kawasan berkenaan kerana ia diperuntukkan sebagai kawasan peranginan.

Menurutnya, kawasan itu kini semakin padat dengan kediaman dan tindakan penguatkuasaan perlu dilaksanakan mengikut undang-undang serta peraturan yang ditetapkan.

Bagaimanapun, Hajiji berkata kerajaan bersedia mempertimbangkan penangguhan tindakan perobohan, khususnya bagi memberi ruang kepada pelajar yang sedang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Ini boleh kita pertimbangkan, tetapi untuk makluman, kampung itu kita anggap kampung setinggan. Bukan baru kerajaan mengeluarkan nasihat supaya mereka tidak mendirikan rumah di sana,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Apresiasi dan Makan Malam Bersama Ketua Menteri Sabah anjuran Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Sabah, di sini, malam tadi.

Hajiji menegaskan bahawa tindakan kerajaan bukan bermaksud mengabaikan kebajikan penduduk, sebaliknya kerajaan perlu memastikan penggunaan kawasan berkenaan mematuhi perancangan dan ketetapan sedia ada.

“Kalau kerajaan sudah bersedia untuk merobohkan, kita kena faham. 40 tahun, bertahun-tahun di sana, jadi jangan dijadikan itu isu seolah-olah kerajaan tidak prihatin.

“Kerajaan prihatin. Kita cari jalan untuk mengatur ataupun memastikan bahawa kehidupan mereka juga tidak terjejas. Tapi kita mesti tahu bahawa kawasan itu dilarang untuk mendirikan rumah. Ia kawasan setinggan,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan akan berusaha mencari jalan bagi memastikan kehidupan penduduk yang terjejas tidak terabai, namun tindakan penguatkuasaan terhadap penempatan setinggan perlu difahami dan dihormati.

Dalam masa sama, pertimbangan penangguhan perobohan bagi memberi ruang kepada calon SPM dilihat sebagai langkah yang boleh memberi sedikit kelonggaran kepada keluarga terlibat sementara peperiksaan berlangsung.

Leave feedback about this

  • Rating