Tempatan Utama

Stesen Janakuasa Hidro Tenom Pangi kembali beroperasi, tingkat kapasiti penjanaan grid sabah

TENOM: Stesen Janakuasa Hidroelektrik Tenom Pangi kini kembali beroperasi sepenuhnya selepas mengalami gangguan akibat kejadian tanah runtuh dan banjir lumpur pada 30 Oktober 2022.

Pemulihan stesen disempurnakan melalui usaha gigih pasukan teknikal Sabah Electricity yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutif Mohd Yaakob Jaafar bersama kontraktor dilantik yang bekerja tanpa henti sepanjang tempoh baik pulih berlangsung.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya Datuk Shahelmey Yahya berkata, insiden tanah runtuh dan banjir lumpur terbabit menyebabkan Sabah Electricity kehilangan kapasiti penjanaan sebanyak 66MW yang memberi impak besar kepada sistem bekalan elektrik di negeri ini.

“Dengan kembalinya operasi stesen ini, penjanaan elektrik ke sistem Grid Sabah berjaya dipertingkatkan, sekali gus menjamin kestabilan bekalan kepada pengguna,” katanya semasa berucap pada Majlis Perasmian Pengoperasian Semula dan Sambutan Ulang Tahun ke-40 Stesen Janakuasa Hidroelektrik Tenom Pangi di sini.

Empangan Tenom Pangi yang mula dibina pada tahun 1978 dan siap pada 1984 menyambut ulang tahun pengoperasiannya yang ke-40 pada 11 April 2025. Sepanjang tempoh empat dekad, stesen hidroelektrik ini menjadi tunjang utama dalam membekalkan tenaga kepada penduduk di Tenom dan sekitarnya serta menyokong pembangunan Sabah secara keseluruhan.

Shahelmey berkata, kerajaan Sabah terus komited dalam memastikan pembangunan menyeluruh di seluruh negeri, termasuk kawasan pedalaman melalui penyediaan prasarana asas seperti elektrik.

“Bekalan elektrik yang stabil dilihat sebagai faktor kritikal dalam menjadikan Sabah sebagai destinasi pelaburan dan perindustrian yang mampan.

“Bagi mencapai matlamat ini, kerajaan negeri bekerjasama dengan kerajaan persekutuan selaras dengan peranan Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) di bawah Pelan Induk dan Hala Tuju Tenaga Sabah 2040 (SE-RAMP 2040) yang menekankan usaha untuk menambah baik kestabilan dan kemampanan bekalan elektrik di seluruh negeri,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga merancang beberapa projek strategik untuk mengatasi isu kapasiti penjanaan dan meningkatkan kadar jidar simpanan elektrik di Sabah daripada 12.4 peratus kepada 20 peratus menjelang Julai tahun ini.

“Langkah-langkah mitigasi interim dan projek fast track turut diluluskan oleh Majlis Tenaga Sabah dalam usaha menampung permintaan bekalan elektrik yang semakin meningkat.

“Antara projek utama yang dirancang termasuk pembelian tenaga dari Sarawak pada tahun ini, pembangunan loji janakuasa baharu berkapasiti 100MW pada 2026 dan 2027, serta pembangunan ladang solar berskala besar berkapasiti 100MW pada tahun depan.

“Projek Hidroelektrik Ulu Padas di Tenom, yang dijangka siap pada 2029 juga bakal memperluas aliran bekalan elektrik ke rantau selatan dan tenggara Sabah mampu mencipta rangkaian tenaga yang lebih stabil dan mampan,” katanya.

Katanya, dengan peruntukan sebanyak RM102.9 juta daripada kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) tahun ini, pelaksanaan projek pengukuhan perkhidmatan bekalan elektrik di Sabah dijangka berjalan lancar seterusnya menyumbang kepada peningkatan rezab jidar sistem Grid Sabah menjelang 2030.

“Langkah proaktif ini diharap mampu membawa kemajuan berterusan kepada Sabah, sekaligus memastikan setiap lapisan masyarakat menikmati akses bekalan elektrik yang berkualiti dan stabil,” katanya.

Sumber Utusan Borneo

Leave feedback about this

  • Rating