Tempatan Utama

Sokongan berterusan terhadap usaha memartabatkan seni, budaya dan bahasa tempatan

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata Kerajaan Negeri sentiasa menyokong usaha-usaha murni untuk memartabatkan seni,  budaya dan bahasa tempatan seperti program Anugerah Lagu SABAHVfm.

“Saya yakin bahawa dengan adanya program-program sebegini, bakat-bakat baharu  akan terus dicungkil dan industri muzik etnik Sabah akan terus bersinar,” katanya  semasa merasmikan upacara Anugerah Lagu SABAHVfm 2025 di Hongkod Koisaan  KDCA, Penampang semalam.

Ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan  Alam Sekitar, Datuk Joniston Bangkuai.

Hajiji turut berkata Kerajaan Negeri komited untuk bekerjasama dengan RTM Sabah  dan agensi lain pada masa hadapan bagi memastikan lebih banyak program berimpak  tinggi seperti ini dapat dilaksanakan.

“Kita akan terus berusaha untuk menyediakan sokongan yang diperlukan agar industri  seni dan budaya di Sabah terus berkembang pesat,” ujarnya.

Hajiji menyatakan bahawa program Anugerah Lagu SABAHVfm juga selaras dengan  aspirasi Kerajaan Negeri untuk melihat industri muzik tempatan terus berkembang maju.

Program ini juga mencerminkan komitmen RTM Sabah dalam mendekati masyarakat  serta menggalakkan penghasilan karya seni baharu yang berkualiti tinggi, katanya.

“Anugerah Lagu SABAHVfm ini amat signifikan kerana ia menyediakan platform untuk  lagu-lagu etnik Sabah diketengahkan bukan sahaja di peringkat negeri, malah ke  peringkat global menerusi platform seperti Aplikasi RTM Klik dan laman Facebook RTM  Sabah serta SABAHVfm. Ini adalah satu langkah proaktif yang harus dicontohi,”  katanya.

“Program seperti ini membuka peluang kepada para pengiat seni, khususnya pencipta  lagu-lagu etnik, untuk mengembangkan bakat dan karya mereka. Saya ingin  menegaskan bahawa Kerajaan Negeri menyokong dan menggalakkan para penggiat  seni tempatan untuk menghasilkan lebih banyak lagu baharu dalam bahasa etnik  Sabah.

“Lagu-lagu dan muzik etnik ini bukan sekadar gubahan melodi dan lirik, tetapi turut  mencerminkan sejarah serta budaya masyarakat berbilang kaum di negeri ini,”  tambahnya.

Dalam hal ini, beliau berkata lagu dan muzik etnik Sabah mesti terus disokong oleh  masyarakat, khususnya generasi muda, bagi menyemarakkan semangat untuk  memartabat dan memelihara muzik etnik negeri ini.

“Saya mengucapkan tahniah kepada semua finalis yang telah berjaya ke peringkat  akhir. Kehadiran anda semua di sini adalah bukti komitmen dan kecintaan terhadap  muzik etnik Sabah. Semoga program ini terus menjadi pemangkin kepada kemajuan  muzik etnik Sabah,” katanya.

Leave feedback about this

  • Rating