Tempatan Utama

SMK Takis Papar Kembalikan Era Gemilang STPM Dengan GPS 3.14

PAPAR– SMK Takis, Papar sekali lagi melakar sejarah apabila berjaya mengembalikan pencapaian cemerlang Gred Purata Sekolah (GPS) 3.14 dalam peperiksaan STPM 2025, sekali gus mengulangi kejayaan yang pernah dicapai pada tahun 2014 ketika sekolah itu dinobatkan sebagai sekolah terbaik di Negeri Sabah.

Dalam keputusan STPM 2025 yang diumumkan, SMK Takis mencatatkan peningkatan GPS kepada 3.14 berbanding 2.92 pada tahun 2024, iaitu peningkatan sebanyak 0.22 mata. Pencapaian tersebut turut mengatasi Gred Purata Kebangsaan serta Gred Purata Negeri Sabah.

Lebih membanggakan, sekolah itu berjaya mengekalkan rekod kelulusan 100 peratus bagi sembilan tahun berturut-turut, sekali gus membuktikan konsistensi kecemerlangan akademik yang dicapai.

Dari segi pencapaian individu, seramai 49 orang calon memperoleh CGPA 3.00 dan ke atas, manakala tiga orang calon berjaya meraih keputusan cemerlang CGPA 4.00 (4 Flat).

Kejayaan ini mengimbau kembali detik bersejarah pada tahun 2014 apabila SMK Takis turut mencatatkan GPS 3.14 dan muncul sebagai sekolah terbaik di Sabah, menjadikan pencapaian tahun 2025 sebagai simbol kebangkitan semula kecemerlangan sekolah tersebut.

Pihak sekolah menyifatkan kejayaan ini sebagai hasil komitmen, dedikasi dan kerjasama erat antara pihak pentadbir, guru, ibu bapa serta para pelajar yang sentiasa berusaha memastikan budaya kecemerlangan terus diperkukuhkan.

Keputusan STPM 2025 ini sekali lagi mengangkat nama SMK Takis, Papar sebagai antara sekolah yang cemerlang di Sabah dan menjadi inspirasi kepada warga pendidikan dalam melahirkan lebih ramai pelajar berprestasi tinggi pada masa hadapan.

Leave feedback about this

  • Rating