Tempatan Utama

SMK Kudat Catat Lonjakan Prestasi Dalam SPM 2025

KOTA KINABALU: Sekolah Menengah Kebangsaan Kudat terus mencipta kecemerlangan apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Sekolah Lonjakan Terbaik kategori luar bandar sempena Majlis Anugerah Kecemerlangan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan STAM 2025 di SM Kian Kok di sini.

Anugerah itu disampaikan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Raisin Saidin sebagai pengiktirafan terhadap peningkatan prestasi akademik sekolah dalam keputusan SPM 2025.

SMK Kudat merekodkan peningkatan memberangsangkan apabila Gred Purata Sekolah (GPS) meningkat daripada 5.96 pada 2024 kepada 5.36 pada 2025.

Pencapaian itu membuktikan komitmen tinggi pihak pentadbir sekolah, guru, ibu bapa serta kesungguhan pelajar dalam memperkukuh kecemerlangan akademik sekolah.

Pengetua SMK Kudat, Eillen Petra Francis berkata, beliau bersyukur dan menghargai seluruh warga sekolah atas komitmen serta usaha berterusan dalam menjayakan pelbagai program akademik dan intervensi pendidikan sehingga menghasilkan pencapaian membanggakan.

Menurutnya, kejayaan itu turut didorong sokongan serta kerjasama erat ibu bapa yang sentiasa memberi dorongan dan perhatian terhadap perkembangan pembelajaran anak-anak.

Katanya, sikap positif, disiplin tinggi dan kesungguhan pelajar SMK Kudat yang majoritinya daripada golongan B40 turut memainkan peranan penting dalam meningkatkan prestasi sekolah.

Beliau berharap pencapaian itu menjadi pemangkin semangat kepada seluruh warga sekolah untuk terus melakar kejayaan lebih gemilang pada masa hadapan sekali gus mengekalkan budaya kecemerlangan dalam semua bidang.

Sumber Utusan Borneo

Leave feedback about this

  • Rating