Tempatan Utama

Shopping raya meriah di Beaufort: Jelajah Iftar KTC, UPPM Sabah rai 100 kanak-kanak

BEAUFORT: Jelajah Iftar 2025 anjuran Kim Teck Cheong Consolidated Berhad, yang diketuai oleh Pengarah Eksekutif Datuk Dexter Lau bersama Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Sabah, hari ini meneruskan ke destinasi kelapan di Beaufort.

Sempena jelajah ini, program Shopping Raya diadakan di pasar raya Servay Jaya Beaufort bagi meraikan 100 orang kanak-kanak dari kawasan Kimanis dan Sipitang.

Program ini bertujuan menyemarakkan kegembiraan menjelang Hari Raya Aidilfitri, khususnya untuk golongan yang memerlukan.

Program tersebut turut diserikan dengan kehadiran Ahli Parlimen Sipitang Datuk Matbali Musah.

Matbali berkata, program menyantuni kanak-kanak ini sangat bermakna, terutama menjelang sambutan Aidilfitri.

“Walaupun kawasan ini masih lagi terjejas dengan banjir, namun kanak-kanak dan penduduk di sini kelihatan gembira dan penuh semangat kerana mendapat baju Raya baharu,” katanya.

Beliau turut berterima kasih kepada KTC, Dexter dan Awang Kadin atas sumbangan ini dan berharap usaha seperti ini dapat diteruskan pada tahun hadapan.

Sementara itu, Dexter berkata, beliau amat gembira berada di Beaufort untuk program Shopping Raya ini.

“Walaupun cuaca hujan, saya sedikit bimbang memikirkan keadaan penduduk yang baru sahaja dilanda banjir minggu lalu.

“Saya berharap pihak berkuasa berusaha untuk membantu rakyat yang terjejas. Di sini, saya berpeluang untuk bertemu ramai orang di pasar raya dan berbual dengan banyak individu dari pelbagai lapisan masyarakat.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pasukan kepimpinan Beaufort yang bekerjasama untuk membersihkan rumah-rumah yang terjejas akibat banjir,” katanya.

Menurutnya, bagi pihak swasta, peranan mereka mungkin kecil, tetapi pihaknya berusaha memberikan sumbangan secara berkala untuk meringankan beban golongan memerlukan.

Beliau berharapndengan sumbangan yang diberikan ini dapat memberi semangat kepada masyarakat dan pemimpin tempatan, bahawa mereka tidak keseorangan.

“Saya merasakan semangat yang tinggi di sini, terutama dalam sambutan Hari Raya ini. Seperti yang disebut oleh Matbali, kami tidak akan melupakan mereka yang memerlukan. Saya akan terus membantu sejauh mana saya mampu.

“Sekiranya terdapat kerajaan baharu yang dipilih nanti, KTC sentiasa bersedia untuk memberi bantuan dan terus memberikan sokongan kepada masyarakat Sabah,” katanya.

Kanak-kanak yang terpilih menerima tajaan membeli-belah bernilai RM200 setiap seorang, bagi memilih pakaian dan kelengkapan baharu sebagai persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Leave feedback about this

  • Rating