
SANDAKAN: Seramai 49 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam operasi penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah di sekitar daerah ini, Jumaat lalu.
Pengarah JIM Sabah, Sitti Saleha Habib Yussof berkata, operasi bersepadu itu dilaksanakan di tiga lokasi berasingan dengan kekuatan 28 pegawai dari Pejabat Imigresen Daerah Sandakan.
Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas 95 individu, seramai 49 daripadanya ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Daripada jumlah itu, 13 lelaki dewasa, 15 perempuan dewasa, 14 kanak-kanak lelaki dan tujuh kanak-kanak perempuan melibatkan warga Filipina, Indonesia dan Pakistan.
“Kesemua mereka didapati tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, semua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Tambahnya, JIM Sabah akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi membanteras kehadiran PATI di negeri ini.
“Tiada kompromi akan diberikan kepada mana-mana individu atau pihak yang melindungi atau menggaji PATI,” tegasnya.
Orang ramai turut digesa menyalurkan maklumat berkaitan kehadiran warga asing tanpa izin bagi membantu tindakan penguatkuasaan.


Leave feedback about this