
PAPAR: Hospital Papar dipilih sebagai lokasi perintis projek kajian potensi air bawah tanah yang dilaksanakan oleh Sedafiat Sdn Bhd bagi memperkukuh ketahanan bekalan air di fasiliti kesihatan di Sabah.
Projek penuaian air bawah tanah itu dijangka mampu menyumbang antara 15 hingga 20 peratus daripada keperluan bekalan air harian hospital dengan kapasiti pengeluaran sekitar 20 hingga 27 meter padu sehari sebagai sumber alternatif kepada bekalan Jabatan Air.
Ketua Pegawai Eksekutif Sedafiat Sdn Bhd, Datuk Hj Ag Buhtamam Hj Ag Mahmun berkata, inisiatif itu bertujuan mengurangkan kebergantungan kepada satu sumber bekalan air di samping memastikan operasi hospital terus berjalan lancar, terutama ketika berlaku gangguan bekalan atau situasi kecemasan.
Beliau berkata, ujian makmal sedang dijalankan bagi menentukan sama ada air bawah tanah yang diperoleh sesuai digunakan sebagai air boleh guna atau air minuman.
Menurutnya, Hospital Papar dipilih berdasarkan potensi hidrogeologi yang memberangsangkan, dengan bacaan awal parameter seperti pH dan kekonduksian elektrik berada pada tahap yang baik.
Majlis pelancaran projek itu disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Dr Ridwan Hashim yang menyifatkan inisiatif berkenaan sebagai langkah penting dalam memperkukuh amalan kelestarian di sektor kesihatan.
Katanya, sekiranya projek perintis itu berjaya, sistem berkenaan berpotensi diperluaskan ke hospital-hospital kerajaan lain di Sabah.
Projek tersebut juga selaras dengan komitmen terhadap prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) serta Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dalam membangunkan sistem kesihatan yang lebih berdaya tahan dan lestari.


Leave feedback about this