Tempatan Utama

Cubaan Seludup Petrol Bersubsidi ke Negara Jiran Gagal

PPM Sabah Gagalkan Cubaan Seludup 5,000 Liter Petrol Bersubsidi di Pitas

PITAS: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah menggagalkan kegiatan disyaki menyeludup petrol bersubsidi ke negara jiran dalam operasi di kawasan tepi sungai Kampung Mapan-Mapan, di sini, awal pagi kelmarin.

Operasi kira-kira jam 12.30 tengah malam itu membawa kepada penahanan tiga lelaki berusia antara 36 hingga 39 tahun yang dipercayai sedang memindahkan petrol bersubsidi ke dalam bot di kawasan muara sungai berkenaan.

Pemeriksaan pasukan operasi menemukan kira-kira 5,000 liter petrol bersubsidi yang dipercayai untuk diseludup keluar negara.

Turut dirampas 38 tong drum, tiga bot kayu termasuk enjin serta pelbagai peralatan berkaitan bot.

Keseluruhan nilai rampasan dianggarkan melebihi RM100,000.

Kesemua suspek dan rampasan kini disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Sementara itu, PPM Wilayah 4 Sabah merekodkan 100 kes mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini.

Daripada jumlah itu, sebanyak 92 tangkapan dibuat dengan nilai keseluruhan rampasan melebihi RM25.2 juta.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, YDH ACP Ahmad Amri Abd Rahman, berkata pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam kegiatan menyeleweng atau menyalahgunakan barangan bersubsidi untuk kegunaan rakyat.

Beliau berkata, tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan bagi mengesan dan membanteras kegiatan ketirisan serta penyeludupan barang kawalan bersubsidi, khususnya usaha membawa keluar bekalan berkenaan dari negara ini.

PPM Wilayah 4 Sabah turut memberi jaminan akan memperkukuh risikan dan operasi di kawasan berisiko bagi memastikan kegiatan penyeludupan serta penyelewengan barang kawalan dapat dibendung secara berterusan.

Leave feedback about this

  • Rating