Tempatan Utama

Sabah Ukir Sejarah Melalui Kejayaan Pembedahan Kembar Siam

HWKKS Cipta Sejarah Berjaya Pisahkan Kembar Siam Pramatang

KOTA KINABALU: Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) mencipta sejarah apabila berjaya melaksanakan pembedahan pemisahan kembar siam jenis pygopagus pada Khamis lalu (2 Julai) di Dewan Bedah Utama hospital berkenaan.

Kembar siam perempuan yang dilahirkan secara pramatang pada usia kandungan 32 minggu itu bercantum di bahagian tulang punggung (sacrum), saraf tunjang, bahagian bawah saluran pencernaan serta organ reproduktif. Bayi berkenaan berasal dari kawasan pedalaman Sabah.

Menurut Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, salah seorang bayi turut mengalami komplikasi jantung dan kegagalan buah pinggang, menyebabkan pembedahan terpaksa dilakukan lebih awal ketika bayi berusia 28 hari berbanding kebiasaan antara empat hingga enam bulan.

Pembedahan berisiko tinggi itu melibatkan kerjasama pelbagai disiplin termasuk pakar neonatologi, anestesiologi, pembedahan pediatrik, neurosurgeri, pembedahan plastik dan rekonstruktif, radiologi, pasukan kejururawatan serta sokongan klinikal, termasuk pakar dari Semenanjung Malaysia.

Kedua-dua bayi berjaya dipisahkan dan kini berada dalam keadaan stabil serta menerima rawatan lanjut di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) HWKKS.

Jabatan Kesihatan Negeri Sabah menyifatkan kejayaan itu sebagai bukti komitmen dan kepakaran warga HWKKS dalam mengendalikan kes anomali kongenital yang kompleks, sekali gus meningkatkan akses kepada rawatan khusus di Sabah serta mengurangkan beban emosi, kewangan dan logistik yang ditanggung keluarga pesakit.

Leave feedback about this

  • Rating