Tempatan Utama

Sabah sasar RM1 bil kontrak minyak dan gas tempatan tahun ini – Hajiji

KOTA KINABALU: Sabah menyasarkan memperoleh RM1 bilion anugerah kontrak tempatan atau 20 peratus daripada jumlah kontrak minyak dan gas yang diberikan tahun ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji  Noor berkata, sasaran itu akan meningkat kepada 30 peratus untuk tahun depan.

“Sehingga kini, anugerah kontrak tempatan telah mencecah RM564 juta, bersamaan dengan 11 peratus jumlah perbelanjaan pada 2022.

“Kita sama-sama serius dalam pengambilan dan pembangunan bakat tempatan dalam sektor ini dan ia adalah keutamaan utama bagi Sabah,” katanya.

Teksnya disampaikan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.

Hajiji berkata, keperluan untuk kandungan tempatan bertujuan untuk mewujudkan pekerjaan, menggalakkan pembangunan perusahaan tempatan dan mempercepatkan pemindahan kemahiran dan teknologi, khususnya untuk sektor minyak dan gas.

Di bawah inisiatif Sabah Maju Jaya (SMJ) yang mesra pelabur, katanya, Sabah menyasarkan untuk memperoleh tambahan aset Huluan dan pengeluaran LNG dan, pada masa yang sama, akan mempertimbangkan peluang tenaga hijau yang sesuai.

“Walaupun minyak dan gas akan menyediakan aliran hasil penting untuk negeri ini, kita juga mengalu-alukan pelabur untuk menerokai tenaga boleh diperbaharui seperti teknologi solar dan penyimpanan, hidro, geoterma dan juga peluang pasaran karbon di Sabah.

“Apabila kami mengambil alih tampuk pemerintahan lebih dua tahun lalu, kami menetapkan hala tuju yang jelas dan memaklumkan bentuk tindakan yang diambil.

“Kami menetapkan keutamaan utama dalam pelan hala tuju pembangunan lima tahun kami, Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), yang menggariskan hala tuju strategik baharu untuk pembangunan ekonomi Sabah.

“Hari ini, saya berbangga untuk mengatakan kami telah melakukan yang terbaik dan berada di landasan yang betul melihat kepada kemajuan yang telah dicapai.

Hajiji berkata, di sebalik cabaran ekonomi yang dihadapi bukan sahaja oleh negeri tetapi di peringkat global, Sabah telah, pada penghujung Disember 2022 mencapai hasil RM6.960 bilion, yang tertinggi dicatatkan setakat ini.

“Ini mewakili peningkatan 28 peratus daripada pencapaian tahun sebelumnya sebanyak RM5.449 bilion.

Leave feedback about this

  • Rating