Tempatan Utama

Sabah pindahkan 285 tahanan PATI warga Filipina melalui laut ke negara asal

Sabah pindahkan 285 tahanan PATI warga Filipina melalui laut ke negara asal

KOTA KINABALU: Seramai 285 tahanan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warga Filipina dipindahkan pulang ke negara asal melalui laluan laut menerusi Pelabuhan Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Lahad Datu pada 22 Oktober lalu.

Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah dalam kenyataan memaklumkan, pemindahan itu melibatkan tahanan dari Depot Imigresen Kota Kinabalu dan Depot Imigresen Papar menggunakan feri komersial ke Pelabuhan Bongao, Filipina.

Daripada jumlah itu, seramai 129 orang ialah lelaki dewasa, 71 perempuan dewasa, 40 kanak-kanak lelaki dan 45 kanak-kanak perempuan berusia antara empat bulan hingga 63 tahun.

Kanak-kanak yang terlibat turut diiringi ibu bapa atau pengiring masing-masing sepanjang proses pemindahan berkenaan.

Sebelum itu, pada 20 Oktober lalu, Depot Imigresen Kota Kinabalu turut melaksanakan pemindahan dua tahanan lelaki dewasa warga China melalui laluan udara dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu ke Guangzhou, China.

Menurut jabatan itu, sehingga kini seramai 6,417 tahanan PATI pelbagai warganegara telah dipindahkan ke negara asal.

Daripada jumlah berkenaan, seramai 4,288 orang ialah warga Filipina, Indonesia (1,789), China (141), Pakistan (137), Vietnam (29) dan 33 orang daripada negara lain.

Jabatan Imigresen Sabah memaklumkan semua tahanan terbabit telah selesai menjalani hukuman mengikut peruntukan undang-undang dan mempunyai dokumen perjalanan yang sah bagi membolehkan proses pemindahan dilaksanakan.

Dalam pada itu, jabatan berkenaan menyeru orang ramai supaya lebih peka terhadap persekitaran komuniti serta tidak melindungi atau menggaji PATI.

Orang ramai juga diminta menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan PATI melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) di https://spab.gov.my atau Sistem Pertanyaan Online (SPO) di https://eapp.imi.gov.my.

Leave feedback about this

  • Rating