Tempatan Utama

Sabah catat peningkatan perbelanjaan pembangunan, 291 projek siap tahun ini

Perbelanjaan pembangunan Persekutuan di Sabah meningkat kepada 71.78 peratus

KOTA KINABALU: Prestasi perbelanjaan pembangunan Persekutuan di Sabah meningkat kepada 71.78 peratus setakat 26 Oktober 2026 berbanding 52.07 peratus pada 10 Ogos lalu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, berkata sebanyak 291 projek pembangunan turut berjaya disiapkan di Sabah sepanjang tahun ini, termasuk Sekolah Menengah Sains Sabah, Kota Kinabalu dan Sekolah Kebangsaan Buit Hill, Penampang.

Katanya, prestasi positif itu perlu diteruskan bagi memastikan pelaksanaan projek pembangunan berjalan lancar dan memberi manfaat kepada rakyat.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) Sabah di Menara Kinabalu, hari ini.

Sehubungan itu, Hajiji menggesa semua kementerian, jabatan dan agensi pelaksana mempergiat usaha bagi memastikan baki peruntukan pembangunan dimanfaatkan sepenuhnya sebelum berakhirnya tahun kewangan 2026.

Menurutnya, perhatian khusus perlu diberikan kepada projek yang mempunyai baki peruntukan besar atau berdepan kekangan pelaksanaan sehingga berisiko mengalami kelewatan dan menjadi projek sakit.

Beliau berkata, isu berkaitan kelulusan teknikal, pengambilan tanah, pengalihan utiliti, perolehan dan pengurusan kontrak perlu ditangani secara proaktif menerusi penyelarasan berkesan antara agensi terlibat.

“Setiap peruntukan pembangunan adalah amanah yang mesti diterjemahkan kepada manfaat sebenar kepada rakyat.

“Peruntukan yang diluluskan seharusnya menghasilkan kemudahan dan perubahan yang dapat dirasai oleh rakyat Sabah,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji menyambut baik peruntukan RM18.7 bilion kepada Sabah menerusi Belanjawan MADANI 2027, meningkat berbanding RM17.6 bilion pada tahun ini.

Katanya, peningkatan itu mencerminkan keprihatinan Kerajaan Persekutuan terhadap keperluan pembangunan Sabah, khususnya dalam memperkukuh infrastruktur asas dan kesejahteraan rakyat.

Antara projek yang diberikan keutamaan ialah Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1B, projek Sistem STATCOM di Dam Road dan Segaliud, Sandakan serta Talian Penghantaran Southern Link di Sipitang.

Selain itu, peruntukan hampir RM1.3 bilion bagi menaik taraf 682 sekolah daif di Sabah dan Sarawak turut dilihat sebagai langkah penting untuk meningkatkan kemudahan pendidikan.

Hajiji turut menegaskan bahawa mesyuarat MTPNg perlu menjadi platform untuk mencari penyelesaian terhadap isu pelaksanaan projek, bukan sekadar membincangkan masalah.

Beliau yakin kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri mampu memastikan agenda pembangunan Sabah terus dipacu secara mampan dan inklusif, selaras dengan aspirasi Sabah Maju Jaya 2.0.

Pada mesyuarat itu, Hajiji turut mengalu-alukan Setiausaha Persekutuan Sabah yang baharu, Datuk Zul Hadi Ahmad, sambil berharap kerjasama antara kedua-dua kerajaan terus diperkukuh bagi memastikan pelaksanaan pembangunan negeri berjalan dengan berkesan.

Leave feedback about this

  • Rating