
Sabah Pelawa Pelabur Serius, Fokus Pembangunan Mampan
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah mengalu-alukan pelabur yang serius untuk melabur di negeri ini bagi mewujudkan kerjasama strategik yang mampu memacu pertumbuhan ekonomi secara mampan dan memberi manfaat kepada rakyat.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, Sabah kini berkembang daripada ekonomi berteraskan sektor primer kepada ekonomi yang lebih pelbagai dan dinamik, selaras dengan aspirasi pembangunan negara.
Beliau berkata, kerajaan negeri komited menarik pelaburan yang bukan sahaja menjana pulangan kewangan, malah memberi impak sosial dan alam sekitar yang positif.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun pada Sidang Kemuncak Pelaburan Impak Asia Pasifik bagi Pembangunan Mampan Sabah di sini, hari ini.
Menurut Hajiji, Sabah menantikan pelabur yang mampu membawa kepakaran, pengalaman serta pembiayaan bagi memacu pembangunan inklusif dengan hasil yang nyata.
Beliau berkata, negeri ini kini berada di landasan untuk muncul sebagai hab utama pembangunan mampan dan pelaburan impak di rantau Asia Pasifik.
Katanya, hampir 30 peratus keluasan tanah Sabah kini berada di bawah Kawasan Perlindungan Sepenuhnya, selain mengekalkan status sebagai negeri karbon negatif hasil kawasan hutan yang luas dan pengurusan alam sekitar yang bertanggungjawab.
Bagaimanapun, beliau menegaskan Sabah masih memerlukan pembangunan infrastruktur termasuk jalan raya, bekalan elektrik, bekalan air dan peluang ekonomi yang lebih luas demi meningkatkan taraf hidup rakyat.
“Pembangunan tidak boleh mengorbankan alam sekitar. Sebaliknya, kelestarian perlu menjadi pemacu kepada pertumbuhan ekonomi sebenar,” katanya.
Beliau turut menyifatkan rantau Asia Pasifik sebagai destinasi utama pelaburan global, didorong pertumbuhan ekonomi yang pesat, kemajuan teknologi, tenaga hijau dan pembangunan mampan.
Hajiji berharap sidang kemuncak itu menjadi platform penting untuk memperkukuh kerjasama antarabangsa serta memperkenalkan penyelesaian inovatif dalam pembangunan mampan di Sabah.


Leave feedback about this