Tempatan Utama

Sabah mahu lebih ramai wanita terlibat membuat dasar

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri mahu lebih ramai wanita diperkasakan melalui program yang berkesan seterusnya memberi kemampuan untuk mereka membuat pilihan serta terlibat dalam membuat dasar dan keputusan.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor turut mahu wanita mempunyai akses kepada peluang, termasuklah pemerkasaan dalam ekonomi, pendidikan, dan politik.

Katanya, ia bagi membolehkan wanita membuat pilihan yang memberi impak positif kepada kehidupan dan keluarga mereka.

Menurutnya, pemerkasaan wanita adalah penting bukan sahaja untuk manfaat dan kesejahteraan wanita tetapi untuk kemajuan keseluruhan masyarakat.

“Pemerkasaan wanita akan membawa kepada hasil ekonomi yang lebih baik, keluarga yang lebih sihat, dan komuniti yang lebih adil.

“Tetapi ini memerlukan usaha kolaboratif daripada semua kerajaan, organisasi, dan individu untuk mewujudkan persekitaran inklusif yang membolehkan wanita mencapai kemajuan,” katanya ketika berucap semasa Majlis Angkat Sumpah Ahli Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS) di Menara Kinabalu di sini hari ini.

Beliau berharap, ahli MPWS yang baharu dilantik akan dapat menjadi sebahagian jentera kerajaan dalam mengoptimumkan penglibatan wanita dalam pelbagai aspek, bagi melahirkan wanita yang berilmu dan hebat yang boleh membawa nama negeri Sabah ke persada antarabangsa.

Hajiji berkata, peranan dan kepentingan wanita sebagai modal insan yang menjana pembangunan negeri semakin jelas.

“Dalam hal ini, semua pihak perlu memainkan peranan membantu kerajaan dalam melahirkan wanita yang berilmu pengetahuan, khususnya dalam menghadapi cabaran pembangunan ekonomi yang memerlukan nilai-nilai kreativiti dan inovasi.

“MPWS ditubuhkan sebagai badan penyelaras dan penasihat kepada kerajaan Negeri serta pengantara kerajaan negeri dan organisasi wanita bukan kerajaan.

“Tugas MPWS termasuk melaksanakan dasar dan program yang memberi manfaat kepada kaum wanita Sabah di peringkat negeri, nasional, dan antarabangsa antara lainnya,” jelasnya.

Justeru katanya, bagi mereka yang dilantik memegang jawatan di MPWS, ia adalah satu penghormatan kerana dipilih dan diberi amanah dalam peranan kepimpinan untuk memastikan wanita di Sabah akan mendapat manfaat daripada dasar dan program kerajaan melalui MPWS.

Hajiji berkata, MPWS turut memainkan peranan penting untuk bertindak sebagai badan pemikir, pemangkin dan saling bekerjasama dengan Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) bagi menyatukan usaha ke arah memajukan wanita di negeri ini.

“Saya maklum di bawah MPWS ini, sebanyak tujuh jawatankuasa kecil diwujudkan iaitu Ekonomi, Pendidikan, Sosial, Kesihatan, Undang-Undang, Gender, Wanita & Media, bagi memajukan pembangunan golongan wanita di negeri ini.

“Saya mahu supaya JHEWA yang bertindak sebagai sekretariat MPWS, akan memainkan peranan dalam membantu pelaksanaan program-program yang dirancang oleh MPWS meliputi jawatankuasa kecil yang diwujudkan.

“Ini amatlah penting demi memperkasakan dan meningkatkan martabat wanita di Sabah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut berharap semua ahli-ahli Majlis Penasihat yang baharu dilantik, supaya dapat menetapkan hala tuju MPWS dalam mensejahterakan rakyat melalui jawatankuasa yang ada.

Pada majlis itu, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) Datuk Dr Rosmawati Lasuki mengetuai upacara angkat sumpah ahli baharu MPWS sebagai pengerusi bersama ahli-ahli baharu MPWS iaitu Datin Fauziah Abu Bakar Titingan, Jais Asri, Prof Dr Imbarine Bujang, Viviantie Sarjuni, Dayang Selha Ibrahim, Nor Saadah Omar, Nor Azah Abd Rahman dan Datin Atin Belynda Buntot.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Panglima Safar Untong dan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Maria Chong.

Leave feedback about this

  • Rating