Tempatan Utama

Sabah Kekal Negeri Karbon Negatif

SOOK: Sabah terus mengekalkan status sebagai penyerap karbon bersih atau negeri karbon negatif berdasarkan data inventori gas rumah hijau dan laporan terkini, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata, status itu disokong oleh keluasan hutan yang signifikan di negeri ini yang menyumbang besar kepada kapasiti penyerapan karbon negara.

Menurutnya, peranan hutan dalam mengurangkan kesan pemanasan global akibat perubahan iklim semakin kritikal kerana hutan berfungsi sebagai kawasan penyerap karbon yang mampu menyerap lebih banyak karbon dioksida daripada yang dilepaskan ke atmosfera.

Katanya, hutan yang dikenal pasti sebagai penyumbang kepada aktiviti berkaitan karbon, khususnya hutan paya gambut dan bakau, turut berpotensi diperluaskan dalam sektor ekonomi semula jadi selaras dengan pembangunan Ekonomi Biru dan Ekonomi Hijau di Sabah.

“Hutan bukan sahaja khazanah semula jadi, tetapi juga pemacu pertumbuhan ekonomi mampan yang mampu memberi manfaat kepada rakyat,” katanya ketika merasmikan sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Kebangsaan di Dataran Sook, hari ini.

Hajiji berkata, pendekatan pengurusan hutan secara inklusif yang melibatkan komuniti tempatan mampu mencapai keseimbangan antara pemuliharaan alam sekitar dan kesejahteraan sosioekonomi rakyat.

Menurutnya, Jabatan Perhutanan Sabah kini melaksanakan pelbagai projek bersama komuniti tempatan di bawah Dana Projek Pemulihan Hutan termasuk penanaman semula kawasan hutan terosot, pemulihan kawasan tadahan air dan pembangunan sumber pendapatan alternatif berasaskan hasil hutan bukan kayu seperti madu kelulut dan rotan.

Beliau berkata, usaha kerajaan negeri itu turut diperkukuhkan menerusi peruntukan berterusan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) dan Dana Pemindahan Fiskal Ekologi (EFT).

“Saya dimaklumkan bahawa di bawah Rolling Plan-One (RP-1), Jabatan Perhutanan Sabah diperuntukkan RM70.8 juta bagi pelaksanaan projek perhutanan di Sabah sepanjang tempoh RMK-13.

“Melalui EFT juga, Sabah merupakan antara penerima terbesar dengan jumlah RM126.36 juta sejak 2019 bagi melaksanakan projek pemuliharaan biodiversiti,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji turut menyambut baik pemilihan daerah Sook sebagai tuan rumah sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Kebangsaan yang membuka peluang kepada masyarakat pedalaman meraikan sambutan berkenaan.

Katanya, pemilihan itu amat bertepatan memandangkan Sook baru sahaja dinaik taraf dan diwartakan sebagai daerah penuh pada April tahun lalu.

Sumber Warta Oreintal

Leave feedback about this

  • Rating