Tempatan Utama

Sabah formalisi perolehan 25 peratus pegangan dalam PETRONAS PFLNG 3

KOTA KINABALU: Sabah telah memformalisasikan perolehan 25 peratus pegangan ekuiti dalam PETRONAS PFLNG 3 Sdn Bhd — satu langkah strategik yang memperkukuh lagi sinergi antara syarikat petroleum nasional dan negeri ini, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.

“Langkah ini bukan sahaja memperkukuh sinergi antara PETRONAS dan Sabah, tetapi juga membuka potensi untuk kerjasama seumpamanya pada masa hadapan,” katanya.

Melalui SMJ Energy Sdn Bhd (SMJ Energy), Sabah menandatangani perjanjian muktamad dengan PETRONAS LNG Sdn Bhd, anak syarikat PETRONAS, bagi memformalisasikan pengambilalihan 25 peratus kepentingan ekuiti dalam PETRONAS PFLNG 3 Sdn Bhd, yang juga dikenali sebagai ZLNG, di sini hari ini.

Langkah ini merupakan susulan kepada pemeteraian Kepala Perjanjian bagi cadangan pengambilalihan tersebut yang disaksikan oleh Hajiji dan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik, di Kuala Lumpur pada 17 Julai lalu.

PETRONAS PFLNG 3 sedang membangunkan kemudahan gas asli cecair terapung berhampiran pesisir (FLNG) bernilai USD3.1 bilion di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP).

Dijangka memulakan operasi pada separuh kedua tahun 2027, PFLNG 3 direka bentuk dengan kapasiti pengeluaran sebanyak dua juta tan setahun (2.0 MTPA).

Pelaburan strategik ini merupakan tambahan terkini kepada portfolio pelaburan pelbagai SMJ Energy. Syarikat itu kini memegang 50 peratus kepentingan penyertaan dalam Samarang Production Sharing Contract, 10 peratus kepentingan ekuiti dalam PETRONAS LNG 9 Sdn Bhd, 25 peratus kepentingan ekuiti dalam PETRONAS Chemicals Fertiliser Sabah Sdn Bhd (loji petrokimia SAMUR), serta pemilikan penuh Sabah International Petroleum Sdn Bhd (SIP) yang mengendalikan aset FPSO dan FSO.

Selain itu, SMJ Energy juga memegang hak free carry dan back-in rights dalam blok penerokaan SB409 (20%), SB403 (20%), SB306A (15%) dan SB306B (15%).

Leave feedback about this

  • Rating