Tempatan Utama

Sabah Electricity meterai MoU strategik bersama UPPM Sabah bagi meluaskan capaian bekalan elektrik

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menyambut baik  kerjasama antara Sabah Electricity Sdn Bhd (Sabah Electricity) dan Unit Pemimpin  Pembangunan Masyarakat Negeri (UPPM) bagi memastikan bekalan elektrik dapat disalurkan  ke seluruh pelusuk negeri.

“Usaha ini melengkapi inisiatif Kerajaan Negeri dalam memastikan rakyat di negeri ini terutama  di kawasan luar bandar dan pedalaman mendapat akses kepada bekalan elektrik,” katanya  selepas menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara  Sabah Electricity dan UPPM Sabah di Menara Kinabalu, hari ini.

Ketua Menteri berkata kerjasama ini juga selaras dengan peranan Pemimpin Pembangunan  Masyarakat (PPM) dalam menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat di kawasan  masing-masing.

Beliau berkata PPM memainkan peranan penting dan memikul tanggungjawab besar yang harus dilaksanakan dengan penuh dedikasi dan rasa tanggungjawab.

Di bawah MoU selama setahun ini, Sabah Electricity dan UPPM Sabah akan bekerjasama  dalam meningkatkan sambungan bekalan elektrik, khususnya di kawasan yang belum diliputi,  membangunkan infrastruktur tenaga mampan serta meningkatkan kesedaran dalam kalangan rakyat mengenai perkhidmatan dan fungsi Sabah Electricity, termasuk penggunaan tenaga yang  efisien.

Projek-projek di bawah kerjasama ini juga akan membuka peluang pekerjaan kepada rakyat.

Secara keseluruhannya, kerjasama strategik antara Sabah Electricity dan UPPM Sabah ini akan  menjadi titik fokus kepada semua perkara berkaitan perkhidmatan Sabah Electricity.

MoU tersebut ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Ir Ts Mohd Yaakob Jaafar  bagi pihak Sabah Electricity, manakala UPPM Sabah diwakili oleh Pengarahnya Datuk Awang  Kadin Tang.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Panglima Sr Safar Untong dan Peguam  Besar Negeri Datuk Brenndon Keith Soh.

Leave feedback about this

  • Rating