
KOTA KINABALU: Sabah mencatatkan penurunan 5.9 peratus kadar penagih dan penyalah guna dadah atau bahan pada tahun 2025, dengan jumlah kes menurun daripada 9,207 kes pada 2024 kepada 8,665 kes.
Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Dato’ Ruslin Jusoh berkata, kadar itu bersamaan 230 individu bagi setiap 100,000 penduduk, sekali gus meletakkan Sabah antara negeri terbaik di Malaysia dalam aspek kawalan penyalahgunaan dadah.
Menurut beliau, pencapaian itu membuktikan keberkesanan usaha bersepadu pelbagai agensi dan pihak berkepentingan dalam membendung penawaran serta permintaan terhadap dadah dan bahan terlarang di negeri ini.
“Ini adalah bukti nyata keberkesanan tindakan bersepadu semua pihak dalam membendung penawaran dan permintaan terhadap dadah serta bahan terlarang di Negeri Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) Peringkat Negeri Sabah Bilangan 1 Tahun 2026 yang dipengerusikan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
Mesyuarat tersebut turut meluluskan dua inisiatif utama iaitu perluasan Program Tempat Kerja Bebas Dadah (TEKAD) dalam sektor awam negeri dan pemerkasaan SKUAD Antidadah bagi memperkukuh daya tahan komuniti.
Selain itu, AADK akan terus mempergiat Program Kampung Aspirasi Bebas Dadah (KABD) di Kampung Likas dan Kampung Benoni, Papar, serta melaksanakan Jelajah Aspirasi Bebas Dadah (JABD) yang menggabungkan pendekatan “top-down” dan “bottom-up”.
Usaha berterusan itu diyakini mampu memperkukuh benteng sosial masyarakat serta mengurangkan permintaan terhadap dadah, selaras dengan sasaran mencapai matlamat Dadah Terkawal 2030.


Leave feedback about this