Tempatan Utama

Sabah Bangun Hab Halal KKIP, Perkukuh Ekosistem Industri Halal Negeri

Sabah Bangun Hab Halal KKIP, Perkukuh Ekosistem Industri Halal Negeri

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah terus memperkukuh pembangunan industri halal negeri menerusi pembangunan Hab Halal di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) seluas 8.09 hektar bagi mewujudkan ekosistem halal yang lebih lengkap dan berdaya saing.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, hab yang dibangunkan oleh Qhazanah Sabah itu akan menjadi pemangkin kepada pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam industri halal.

Beliau berkata, kerajaan negeri turut meneliti cadangan mewartakan Sabah Agro Industrial Park (SAIP) di Kimanis sebagai Hab Halal bagi industri retort di Sabah.

“Usaha ini adalah sebahagian daripada komitmen kerajaan negeri untuk menyediakan ekosistem halal yang lengkap, daripada pengeluaran, pemprosesan dan pensijilan sehingga kepada pemasaran,” katanya ketika menutup Program Jelajah Halal Malaysia (JHM) Sabah 2026 di sini, hari ini.

Ewon berkata, kerajaan negeri menghargai kerjasama Halal Development Corporation (HDC) bersama pelbagai agensi dalam memperkasakan usahawan tempatan melalui program berkenaan.

Katanya, inisiatif seperti JHM mampu membantu lebih ramai usahawan Sabah menghasilkan produk dan perkhidmatan yang memenuhi piawaian halal di peringkat domestik serta antarabangsa.

Beliau turut menggalakkan usahawan halal Sabah menyertai ekspo antarabangsa dengan sokongan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR).

Menurutnya, Malaysia kekal sebagai negara nombor satu dalam Petunjuk Ekonomi Islam Global selama 12 tahun berturut-turut, manakala kira-kira 9,000 syarikat di seluruh negara memiliki sijil halal, termasuk sekitar 420 syarikat di Sabah.

Ewon berkata, MUIS Halal Hab bersama HDC dijangka dapat meningkatkan lagi jumlah syarikat makanan dan minuman di Sabah yang memperoleh pensijilan halal.

Selain itu, DIDR dan SEDCOVEST turut menyediakan geran pensijilan halal serta dana renovasi premis bagi membantu usahawan memenuhi syarat pensijilan.

Beliau menegaskan, kementeriannya akan terus memperkukuh kerjasama strategik dengan HDC dan agensi berkaitan bagi memacu pembangunan industri halal, sekali gus memanfaatkan kedudukan strategik Sabah untuk muncul sebagai hab halal yang lebih maju pada masa depan.

Leave feedback about this

  • Rating