Tempatan Utama

RM70 Juta Perkasa Pelabuhan Tawau, Tingkat Kecekapan Kargo

Tajuk: Pelabuhan Tawau Diperkasa Dengan Dua Kren Baharu Bernilai RM70 Juta

TAWAU: Pelabuhan Tawau terus diperkasakan menerusi pemerolehan dua kren dermaga (quay crane) baharu bernilai RM70 juta yang dijangka meningkatkan kecekapan pengendalian kargo serta mengukuhkan peranannya sebagai pintu masuk maritim utama di Pantai Timur Sabah.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, pelaburan yang dilaksanakan melalui Sabah Ports Sdn Bhd (SPSB) itu merupakan langkah strategik kerajaan negeri untuk memodenkan infrastruktur pelabuhan dan meningkatkan daya saing sektor perdagangan serta logistik Sabah.

Menurut beliau, kren baharu itu akan meningkatkan produktiviti dan kecekapan operasi, mempercepatkan tempoh pusingan kapal, mengurangkan masa menunggu serta membolehkan Pelabuhan Tawau mengendalikan kapal yang lebih besar dengan kapasiti kargo yang semakin meningkat.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan dua kren baharu di Pelabuhan Tawau, hari ini.

Hajiji berkata, sistem pelabuhan yang moden dan cekap amat penting bagi menyokong pertumbuhan sektor berorientasikan eksport serta memperkukuh hubungan perdagangan Sabah dengan pasaran domestik dan serantau.

Sementara itu, Pengerusi Suria Capital Holdings Berhad, Datuk Seri Panglima Abd Rahman Dahlan berkata, pelaburan RM70 juta itu mencerminkan komitmen jangka panjang syarikat dalam membangunkan infrastruktur strategik negeri bagi memenuhi permintaan perdagangan masa hadapan.

Pengarah Urusan Kumpulan Suria Capital Holdings Berhad dan SPSB, Datuk Ahmad Rizal Dahli pula berkata, pemerolehan kren baharu itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan memodenkan Pelabuhan Tawau bagi meningkatkan kecekapan operasi dan mutu perkhidmatan kepada pengguna pelabuhan.

Majlis turut dihadiri Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Ewon Benedick; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zainudin Aman serta Pengerusi Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah, Datuk Donald Mojuntin.

Sumber Utusan Borneo

Leave feedback about this

  • Rating