
Sabah kenakan bon 10% bagi pastikan induk lembu dan kambing tidak dijual awal
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah memperkenalkan sistem bon sebanyak 10 peratus daripada harga ternakan bagi memastikan penternak tidak menjual induk lembu dan kambing terlalu awal.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar berkata, wang bon itu akan dikembalikan selepas tiga tahun sekiranya penternak memenuhi syarat ditetapkan.
Katanya, harga seekor lembu dianggarkan RM16,000, manakala kambing RM1,600. Ini bermakna penternak perlu membayar bon sebanyak RM1,600 bagi seekor lembu dan RM160 bagi seekor kambing.
Langkah itu bertujuan menggalakkan penternak membiak dan menambah jumlah ternakan, bukannya menjual induk selepas kelahiran pertama.
Beliau berkata demikian ketika menerima ketibaan 950 ekor kambing dari Australia bernilai kira-kira RM1.6 juta serta 140 ekor lembu tenusu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, hari ini.
Menurutnya, sebanyak 19 penternak akan menerima kambing, manakala lembu tenusu akan diserahkan kepada SLDB di Keningau dan Desa Keningau untuk diuruskan.
Semua ternakan yang tiba akan menjalani kuarantin kira-kira seminggu sebelum diagihkan kepada penerima yang layak.
Jamawi berkata, lembu tenusu yang dibawa masuk berpotensi menghasilkan sehingga 30 liter susu sehari, berbanding purata semasa sekitar 14 hingga 15 liter sehari.
Kerajaan turut menerima 850 ekor lembu pedaging bernilai kira-kira RM10 juta pada minggu lalu. Jumlah peruntukan bagi penghantaran lembu pedaging, lembu tenusu dan kambing dianggarkan RM17 juta.
Sabah menyasarkan tahap sara diri daging lembu meningkat kepada 40 peratus menjelang 2030, berbanding kira-kira 25 peratus ketika ini. Bagi daging kambing, tahap sara diri semasa ialah 5.5 peratus.
Penternak yang berminat menyertai program itu boleh menghubungi pejabat Jabatan Perkhidmatan Veterinar berhampiran untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Bagaimanapun, kelulusan bantuan bergantung pada kesediaan kandang, keluasan kawasan, bekalan makanan serta kemampuan penternak menjaga ternakan dengan baik.


Leave feedback about this