Tempatan Utama

Hujan berterusan cetus risiko tanah runtuh, penduduk Kundasang diminta berjaga-jaga

Tanah runtuh kali kedua di Kundasang, bomba beri amaran

KOTA KINABALU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah menasihatkan orang ramai, khususnya penduduk di kawasan tanah tinggi dan berhampiran cerun, supaya berwaspada terhadap risiko tanah runtuh ketika hujan lebat berterusan.

Peringatan itu dikeluarkan susulan kejadian tanah runtuh kali kedua di Kampung Gorowot Sinisian, Kundasang, yang berlaku pada petang Selasa.

Dalam kejadian terbaharu itu, runtuhan menjejaskan bahagian beranda sebuah rumah penginapan. Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian berkenaan.

Kejadian pertama sebelum ini membabitkan sebuah kenderaan jenis kompak yang terjatuh ke tebing selepas hujan lebat berterusan, sekali gus menjejaskan laluan utama ke kampung terbabit.

Jurucakap JBPM Sabah berkata, hujan lebat berterusan boleh menyebabkan tanah menjadi tepu air dan mengurangkan kestabilan cerun, sekali gus meningkatkan risiko berlakunya tanah runtuh.

Antara faktor lain yang boleh mencetuskan kejadian itu termasuk cerun curam atau tidak stabil, aktiviti pemotongan cerun, kerja tanah, hakisan serta penebangan pokok yang mengurangkan sokongan akar pada tanah.

Orang ramai turut diminta mengenal pasti tanda awal tanah runtuh seperti kemunculan rekahan baharu pada tanah, jalan raya atau dinding bangunan, batu kecil yang jatuh dari cerun, pokok atau tiang yang senget serta perubahan aliran air.

“Bunyi retakan atau pergerakan tanah juga perlu diberi perhatian kerana boleh menandakan ketidakstabilan tanah di kawasan berkenaan,” katanya.

JBPM Sabah menasihatkan penduduk supaya menjauhi kawasan cerun berisiko dan menggunakan laluan alternatif sekiranya jalan terjejas atau ditutup.

Penduduk juga diminta mematuhi arahan pihak berkuasa, berpindah segera jika diarahkan serta berwaspada terhadap kemungkinan runtuhan susulan, terutama ketika hujan lebat.

Orang ramai yang berdepan kecemasan diminta menghubungi talian kecemasan 999.

Leave feedback about this

  • Rating