Tempatan Utama

RM101 juta untuk pelajar Sabah lanjutkan pelajaran ke peringkat pengajian tinggi

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri memperuntukkan RM101 juta untuk biasiswa kepada pelajar yang melanjutkan pelajaran dalam pelbagai bidang tahun ini, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor.

Jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 84 peratus berbanding peruntukan tahun lepas sebanyak RM55 juta.

“Anugerah Biasiswa Kecemerlangan Kerajaan Negeri akan memberi manfaat kepada 4,638 lepasan SPM, STPM dan mereka yang berada di institusi pengajian tinggi dari Sabah,” katanya selepas menyampaikan anugerah biasiswa kepada 10 pelajar cemerlang peperiksaan STPM tahun ini di Menara Kinabalu di sini hari ini.

Hajiji memberi kata-kata semangat dan nasihat kepada penerima.

 

“Pendidikan merupakan salah satu teras dalam pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya iaitu pembangunan modal insan. Kita memerlukan modal insan yang berkemahiran dan berpengetahuan untuk membangunkan Sabah,” katanya.

Diiringi Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri, Datuk Zainuddin Aman dan Jawatankuasa Anugerah Biasiswa, Ketua Menteri menyampaikan surat tawaran biasiswa kepada Arnie Jaliusih, Julizza Jummain, Kelly Ng, Mahazir Mahmod, Nur Hafizah Mansor, Nur Syafienaz Herman, Nurul Azwa Azura , Dayangku Siti Aisyah Pg Ali Mudin, Legendra Harroy dan Shazliana Sahid.

Leave feedback about this

  • Rating