
LAHAD DATU: Empat lelaki termasuk seorang warga asing ditahan polis selepas disyaki merogol seorang remaja perempuan berusia 14 tahun dalam kejadian di Kampung Batu 1, Jalan Segama, di sini, bulan lalu.
Suspek yang terdiri daripada tiga lelaki tempatan dan seorang warga asing berusia lingkungan 20-an itu ditahan susulan laporan polis yang dibuat mangsa.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Dzulbaharin Ismail berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 2 pagi pada 9 Mei lalu ketika mangsa sedang tidur bersendirian di dalam bilik rumah berkenaan.
Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek dipercayai memasuki bilik mangsa sebelum melakukan serangan seksual terhadap remaja terbabit.
“Kes berkenaan hanya diketahui keluarga mangsa beberapa hari kemudian sebelum laporan polis dibuat.
“Bertindak atas laporan diterima, polis menjalankan siasatan dan berjaya menahan kesemua suspek bagi membantu siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, semalam.
Beliau berkata, semua suspek kini direman selama tujuh hari di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lapan tahun dan tidak melebihi 30 tahun serta sebatan tidak kurang 10 kali jika sabit kesalahan.
Dzulbaharin berkata, polis memandang serius jenayah seksual dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam kesalahan berkenaan.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan ibu bapa dan keluarga supaya sentiasa memantau pergaulan serta rakan-rakan anak masing-masing bagi mengelakkan mereka menjadi mangsa jenayah.
Sumber Utusan Borneo


Leave feedback about this