
KOTA KINABALU: Sambutan Regatta Lepa Semporna Kali Ke-31 Tahun 2026 dijangka menarik antara 40,000 hingga 60,000 pengunjung sepanjang penganjurannya dari 26 hingga 28 Jun ini.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Jafry Ariffin berkata, Regatta Lepa bukan sahaja menjadi simbol kebanggaan masyarakat Bajau Semporna, malah berperanan sebagai platform penting dalam mempromosikan keunikan budaya, seni dan tradisi Sabah kepada pelancong dari dalam serta luar negara.
Beliau berkata, acara tahunan yang memasuki edisi ke-31 itu akan berlangsung di Dataran Regatta dan Padang Bandaran Semporna dengan pelbagai pengisian menarik sepanjang tiga hari penganjurannya.
Menurutnya, majlis perasmian dijadual disempurnakan oleh Hajiji Noor pada 26 Jun, manakala majlis penutupan dan Malam Penobatan Ratu Lepa dijangka disempurnakan oleh Musa Aman pada 27 Jun.
Sepanjang sambutan itu, pelbagai acara tradisi dan aktiviti sampingan akan diadakan termasuk sukan laut, pertandingan perahu berhias, pameran kebudayaan, Larian Lepa serta program komuniti yang menjadi tarikan utama kepada pengunjung.
Pertandingan Ratu Lepa turut menjadi antara acara yang dinanti-nantikan, dengan sesi pendaftaran bermula pada 21 Jun. Setakat ini, lebih 30 peserta telah mendaftar termasuk dari luar daerah Semporna.
Mengulas aspek keselamatan, Jafry memberi jaminan bahawa Semporna kekal selamat untuk dikunjungi hasil pelbagai langkah keselamatan yang dilaksanakan kerajaan melalui penempatan pasukan keselamatan di kawasan strategik termasuk pulau-pulau peranginan.
Beliau turut memuji usaha pihak berkuasa tempatan dan masyarakat setempat dalam meningkatkan tahap kebersihan daerah berkenaan melalui pelbagai inisiatif yang membantu memperkukuh imej Semporna sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa.
Turut hadir pada sidang media itu ialah Pegawai Daerah Semporna merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Regatta Lepa Semporna 2026, Mas Syazwan Masood.
Sumber SabahNews


Leave feedback about this